[syawal1428H]-Hati bukan Kristal..


Matahari kian tepat berpaksi tegak di kepala. Sinarannya terus membakar dengan teriknya. Keringat membasahi seluruh badan dua orang pemuda yang berpangkat “Site Engineer” yang sedang melepaskan lelah di sudut kabin. Deruman jentolak dan kren-kren terus memekak dan membingitkan telinga.”Pian, kau nak order tak nasi bungkus kat restoran Tong Fah tu?” pelawa Zul kepada Sufian yang kelihatan hampir tidak bermaya. Sufian terus membisu. “Zul, aku dah berazam tahun ini aku nak berpuasa penuh, tak nak puasa bocor-bocor lagi macam tahun-tahun lepas, aku nak sembahyang terawih setiap malam” ujar Sufian dengan penuh keazaman menatap teman setia sekerjanya itu. Riak wajah Zul terlukis seribu kejutan dan persoalan. “Betul Zul, aku betul-betul berazam Ramadhan ini, kau pun kena juga berazam, sampai bila kita nak ponteng puasa?” tegas Sufian kepada kawan karibnya itu sejak dibangku kuliah di universiti tempatan. “Kau dah berubah Pian, aku berjanji nak berubah juga” ujar Zul yang terkesima dengan semangat Sufian pada Ramadhan ini.
Berubah? Inilah masanya untuk kita berubah. Daripada lemah kepada kuat, daripada kurang bersemangat kepada penuh optimis. Ramadhan yang disajikan untuk kita oleh Pencipta Yang Agung penuh dengan keberkahan, keampunan dan seribu peluang keemasan. Di dalamnya ada motivasi, ada keazaman dan semangat baru. Pemikiran yang mengatakan Ramadhan itu hanya untuk bertahan lapar dan dahaga sepanjang hari harus dikikis daripada terus menyelinap masuk ke hati kita. Doktrin yang sedemikian rupa hanya mampu mengubah manusia pada luaran sahaja. Mungkin ianya mampu menurunkan kadar lemak dan berat badan dan tidak lebih daripada itu. Tetapi yang lebih didambakan lagi bagaimana Ramadhan ini mampu memberi kesan yang mendalam terhadap sahsiah, sehingga perginya Ramadhan nanti berjaya mengusir segala kepincangan sahsiah dalam diri kita. Tetapi apakah suara hati kita mampu membisikkan sedemikian? Ataupun nafsu yang akan terus merajai diri sehingga kita akur menjadi “Yes Man” kepadanya. Inilah tanda-tanda hati masih terpalit dengan karat-karat jahiliyyah angkara nafsu yang telah terdidik dengan bisikan syaitan. Ketika syaitan-syaitan dibelenggu, bisikan nafsu yang belum tertunduk itu masih mampu meneruskan perjuangan jahat syaitan untuk mencacatkan Ramadhan kita.

Hati bukan kristal. Tidak sekeras struktur kristal. Sekali tercalar atau pecah berderai, tidak mampu bercantum kembali. Tetapi hati ini adalah bersifat berbolak balik dan mampu dijernihkan semula dengan taubat nasuha walaupun seribu calar balar terukir. Itulah kelebihan hati berbanding kristal, walaupun indah dan mahal, namun bila berderai, tong sampah sahaja yang layak buatnya. Inilah masanya untuk kita berubah. Ramadhan telah menjanjikan pemurnian iman dan penjernihan jiwa bagi sesiapa yang mendambakannya. “Dan untuk yang demikian itu hendaklah berlumba-lumba bagi mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan” (83:26). Inilah yang diungkapkan oleh Allah dalam surah Al-Mutaffifin supaya kita sentiasa optimis dan cintakan kepada perubahan yang lebih baik bagi mengejar kelebihan dan kesenangan yang dijanjikan oleh-Nya.

Hati bukan kristal! Tetapi hati yang berjaya disucikan di sepanjang Ramadhan ini akan lebih indah, bernilai dan bergemerlapan dari kristal.