Oh Malaysia!



KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu penggunaan
perkataan 'Allah' dalam penerbitan berkaitan agama Kristian tidak lagi dilarang
seperti terkandung dalam warta baru dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri, awal
tahun ini. Peguam Kanan Persekutuan Nizam Zakaria, yang mewakili Pejabat Peguam Negara, memaklumkan mahkamah bahawa Menteri Dalam Negeri, selaku responden pertama dalam prosiding semakan kehakiman itu yang difailkan Ketua Paderi Gereja Roman Katolik Kuala Lumpur, telah mewartakan perintah bertarikh 21 Januari 2009,bertajuk ‘Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Penggunaan Perkataan Tertentu Pada Dokumen dan Penerbitan) 2009'. Warta itu menyebut "Percetakan,penerbitan, penjualan, pengedaran dan pemilikan apa-apa dokumen dan penerbitan yang berhubung dengan agama Kristian yang mengandungi perkataan "Allah","Kaabah", "Baitullah" dan "Solat" adalah dilarang melainkan jika di kulit muka depan dokumen dan penerbitan itu ditulis perkataan "Untuk Agama Kristian".


Perintah itu diwartakan 16 Febuari 2009 dan berkuat kuasa pada tarikh itu.
Berikutan perkembangan itu, peguam Porres P Royan, yang mewakili pemohon,
Ketua Paderi Datuk Murphy Pakiam, memaklumkan Hakim Lau Bee Lan bahawa mereka akan mengadakan perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara berhubung implikasi perintah itu. "Jika, selepas perbincangan kami berasa selesa, dengan itu jelas perkara ini mungkin tidak perlu diteruskan dan didengar. Kami akan maklumkan kepada mahkamah jika kami mencapai penyelesaian. "Masih terlalu awal untuk kami membuat keputusan," katanya sambil memohon kepada mahkamah untuk memberikan masa dua hingga tiga bulan bagi kedua-dua pihak sebelum menetapkan tarikh perbicaraan bagi permohonan semakan penghakiman itu.


Terdahulu, Porres memberitahu mahkamah yang beliau akan tetap meneruskan permohonan untuk mengenepikan perintah campur tangan yang dipohon pada 21 November tahun lalu oleh tujuh majlis agama Islam negeri - Wilayah Persekutuan, Terengganu, Pulau Pinang,Selangor, Kedah, Johor dan Melaka - dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MCMA) untuk campur tangan dan dinamakan sebagai responden dalam prosiding semakan penghakiman itu. Mahkamah menetapkan 28 Mei untuk mendengar permohonan itu bersama-sama dengan permohonan Majlis Gurdwaras Malaysia untuk turut campur tangan. Mahkamah juga menetapkan 7 Jun untuk mendengar permohonan tujuh majlis agama Islam negeri dan MCMA, untuk merujuk kes itu ke Mahkamah Persekutuan mengenai persoalan perlembagaan. Pada 5 Mei tahun lalu, Murphy selaku penerbit The Herald menamakan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam usahanya bagi diisytiharkan keputusan responden bertarikh 12 Februari 2008, melarangnya menggunakan perkataan "Allah" dalam "Herald-The Catholic Weekly" adalah melanggar undang-undang.


Beliau juga memohon perisytiharan yang beliau berhak menggunakan perkataan "Allah" dan perkataan "Allah" bukan eksklusif untuk agama Islam. - Bernama


********


Apa komen anda?




Tunggu ulasan saya pada entri akan datang (minggu depan?mungkin.).Maaf-lah,saya tak punya banyak peluang untuk 'online' di bumi barakah ini.