Hakikat Nilai Sebuah Seruan (i)


Dunia yang sudah tua ini telah menyaksikan pelbagai peristiwa-peristiwa besar, bermula daripada penurunan Adam A.S dan Hawa A.S sehinggalah hari ini. 
Berbagai peristiwa yang berlaku telah menjadikan dunia ini sentiasa bersedia menerima segalanya dari tangan-tangan manusia, baik yang baik dan yang buruk. Kejadian gempa bumi, peperangan, pencabulan tanah suci, kezaliman, dan bermacam-macam lagi yang kini dilalui oleh dunia pada saat ini.
Rahsia tunggal
Namun di sana terdapat satu rahsia yang menolak dunia untuk terus kekal sehingga hari Kiamat. Rahsia yang terkumpul padanya segala kandungan risalah yang dibawa oleh para anbiya’ dan salafussoleh. Dunia hanya mampu bertahan jika perkara ini ada padanya. Ia merupakan perkara daripada urusan Allah yang hanya dengannya diturunkan Adam, hanya dengannya diutus para rasul kepada seluruh umat, dan hanya dengannya Al-Quran diturunkan, sebagai hidayah kepada semua manusia.
Rahsia itu adalah dakwah Allah yang dibawa oleh para rasul dan diteruskan oleh para khulafa’ rasyidin kemudian para salafussoleh yang meneruskan penyampaian risalah dakwah ke seluruh alam.
Allah S.W.T telah berfirman ;
“ Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut Dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta Dalam tentera Talut) membunuh Jalut. dan (Sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) Kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam”, [Al-Baqarah:251]
Ayat di atas menunjukkan peranan segolongan manusia yang melawan kerosakan segolongan yang lain supaya bumi ini tidak hancur kesemuanya dengan kerosakan mereka. Ayat ini juga menunjukkan kemuliaan generasi dakwah yang berusaha mendidik anasir-anasir kebaikan bagi melawan arus kejahatan yang hanya membawa kepada kerosakan dunia, dengan Allah menggunakan nama-Nya dalam ayat “sekiranya Allah tidak menolak”. Kemuliaan dakwah ini sehingga Allah menjadikan ia merupakan golongan yang datang daripada Allah atau hizbullah yang membawa maksud kumpulan Allah yang menentang hizbus syaitan iaitu kumpulan syaitan.
Jemaah dakwah qudwah
Jika kita melihat ayat-ayat sebelumnya, kita akan mendapati kisah tentera Talut memerangi Jalut. Kita juga akan mendapati (pada ayat sebelumnya) mengenai suatu proses penapisan dalam memilih anggota dakwah yang akan menyertai saf peperangan melawan golongan batil. Ia merupakan suatu susunan rabbani yang sangat indah, seolah-olah menunjukkan suatu susun atur sesebuah jemaah dakwah yang membawa arus fitrah, untuk melawan jemaah jahiliyah yang membawa arus fitnah.
Dalam ayat-ayat itu terdapat beberapa ciri-ciri jemaah qudwah iaitu : 
1. Proses pemilihan saf yang mantap dan penapisan yang sentiasa berlaku
2. Pemilihan pemimpin yang tsiqah dan rabbani (Ketegasan Talut dalam penapisan tentera) 
3. Tsiqah kepada janji Allah (berapa ramai kumpulan yang kecil telah memenangi kumpulan yang besar bilangannya ?) 
4. Mengambil asbab-asbab kemenangan (Daud menggunakan batu membunuh Jalut) 
5. Tawakkal yang tinggi kepada Allah (dibuktikan melalui doa mereka) 
6. Tsabat di atas perjuangan walaupun ramai terkorban dan tercicir (bermula daripada pemilihan panglima tentera sehingga ke medan peperangan) 
7. Pemilihan saf berteraskan keteguhan iman, bukan selainnya.
Ciri-ciri ini perlu ditepati agar sejarah yang telah ditunjukkan oleh Allah ini dapat digunakan pada tempatnya dan diamalkan selari dengan tuntutannya agar kita berjalan selari dengan sunnatullah terhadap alam ini, dan apa yang telah ditetapkan dalam jalan dakwah ini.
“Dan kamu tidak akan sekali-kali mendapati sunnatullah itu bertukar” – [Al-Ahzab:62]
Permulaan era kegemilangan tamadun manusia Jemaah qudwah ini telah dirakamkan oleh Allah sebagai sebuah permulaan ke atas era baru kemanusiaan. Syed Qutb r.h.m telah menyebut dalam Fi Zilal Quran, bahawa selepas pertempuran antara kedua-dua kumpulan ini, terbentuknya sebuah kerajaan yang diterajui Daud A.S sebagai raja dan memerintah dunia pada waktu itu.
Pemerintahan itu seterusnya diterajui oleh Sulaiman A.S, anak baginda. Teknologi telah mula berkembang pada tangan mereka berdua di mana Allah menyebut dalam surah Al-Anbiya’ bahawa Allah telah mengajar Daud A.S membuat baju besi sebagai peralatan perang, dan juga dalam surah An-Naml di mana Sulaiman A.S telah mempunyai Istana Kaca yang menjadikan ratu Balqis memeluk Islam.
Jika kita teliti dalam Al-Quran, Allah hanya pernah menyatakan secara jelas kepada Daud A.S suatu amanat Khalifah dalam surah Saad ayat ke-26 ;
“Wahai Daud, sesungguhnya Kami jadikan kamu ‘khalifah’ di muka bumi ini maka adililah manusia dengan kebenaran, dan janganlah engkau mengikut hawa nafsu lantas menyebabkan engkau akan sesat daripada jalan Allah, sesungguhnya orang yang mengikut hawa nafsunya akan dikenakan azab yang pedih, kerana mereka melupakan Hari Perhitungan” [Saad:26]
Amanat khalifah ini telah Allah nyatakan secara jelas, kerana ketika itu Daud A.S telah memegang tampuk pemerintahan Palestin dan menguasai dunia, selepas beliau terpilih dalam saf Talut, lantas Allah memilih beliau lagi untuk mengalahkan Jalut, kemudian Allah memilih beliau untuk memegang jawatan sebagai raja kepada Bani Israel, pada ketika itu.
Pandangan kita terhadap perkara ini sungguh luas. Kita memandang bahawa permulaan sesuatu tamadun itu bermula daripada sebuah jemaah dakwah qudwah yang berjuang menentang arus jahiliyah dan mengalahkannya. Sebuah jemaah dakwah qudwah itu bermula daripada hidupnya roh dakwah dalam jiwa-jiwa para duat yang beriman dengan fikrah dakwah yang sebenar lantas bergabung tenaga dan membentuk sebuah kumpulan yang hebat.
Selepas itu akan datanglah kemajuan-kemajuan lainnya dari segala aspek untuk membentuk era kegemilangan hidup manusia, di mana dakwah Allah merupakan perkara yang tertinggi di muka bumi ini...

BERSAMBUNG ke SIRI 2