Hakikat Nilai Sebuah Seruan (ii)


Al-Quran itu untuk dakwah. Mari kita alihkan pandangan kepada nilai dakwah kepada Al-Quran. Jika kita meneliti Al-Quran, kita akan dapati dalamnya sangat banyak rahsia-rahsia ilmu, dan hikmah-hikmah Allah yang terkandung, yang sehingga kini kita belum mampu singkapi kesemuanya.
Kisah-kisah generasi sebelum ini, sunnah kehidupan, kejadian alam yang belum tersingkap, kejadian hari Kiamat, kisah-kisah di syurga dan neraka dan banyak lagi isi kandungan yang sangat mengghairahkan ahli akademik untuk mengkaji satu persatu mengenai kandungan kitab suci itu.
Namun dalam sibuk pencarian kita secara ilmiah terhadap isi kandungan Al-Quran, dalam sibuk kita menghafaz Al-Quran dengan berbagai-bagai cara bacaan, kebanyakan manusia terlupa suatu perkara penting yang selalu diulang-ulang dalam Al-Quran ;
“Ia tidak lain hanyalah sebagai peringatan kepada seluruh alam” – Surah Saad 

“Ia bukanlah melainkan peringatan kepada seluruh alam” – 
Surah At-Takwir 

“Ia tidak lain hanyalah 
peringatan kepada manusia” – Surah Al-Muddatsir

“Dan sesungguhnya ia adalah yang diturunkan oleh Tuhan sekalian alam, yang diturunkan melalui Roh yang jujur (Jibril), ke atas hatimu agar engkau menjadi di kalangan orang-orang yang memberikan peringatan, (ia diturunkan) dengan lisan Arab yang nyata” – 
Surah Asy-Syu’araa 

“Sesungguhnya ini hanyalah peringatan, dan sesiapa yang kehendaki, dia akan mencari jalan bertemu Tuhannya” –
 Surah Al-Muzzammil & Surah Al-Insan
Hakikat tujuan Al-Quran ini kurang difahami dan dihayati oleh manusia kini. Tidakkah kita perhatikan bahawa Al-Quran itu hanya turun selepas Muhammad S.A.W itu dilantik menjadi Rasul ? Tidakkah kita perhatikan ayat ini ;
“Dan setiap yang Kami kisahkan padamu (wahai Muhammad) daripada kisah-kisah rasul sebelum ini adalah untuk menetapkan jiwamu, dan dari pada kisah-kisah itulah akan datangnya kepadamu kebenaran, dan nasihat serta peringatan untuk orang mukminin” – Surah Hud
Benarlah Al-Quran, kehebatannya akan sentiasa melahirkan rijal-rijal dakwah yang memikul risalah. Kehebatannya itu adalah pada tujuan diturunkannya, iaitu dakwah. Tanpa kewujudan kepentingan dakwah ini, sudah pasti Al-Quran tidak akan diturunkan kepada manusia, dan sudah pasti para rasul tidak diutuskan dan mengajarkan kepada manusia segala hakikat kehidupan dan syariat.
Kemuliaan pemikul risalah
Para duat yang memikul risalah pada hari ini tidak harus merasa kecil, dan sempit dada jika mereka mengharungi jalan dengan penuh derita dan segala cubaan. Mereka sepatutnya merasa kemuliaan yang dianugerahkan oleh Allah kepada para anbiya’ dalam mengajar manusia erti kehidupan dan membawanya kepada jalan Allah. 
Para pemikul risalah harus merasakan bahawa jika tidak wujud, maka umat manusia terdedah kepada ancaman azab Allah, kerana dunia ini tidak redha jika dakwah tidak wujud dan ditentang sehabis-habisnya. Kita boleh melihat hakikat ini pada sejarah para anbiya’, ketika mana azab akan diturunkan selepas mereka mendustakan para rasul yang telah diutuskan kepada mereka dengan berbagai bentuk azab.
Ia merupakan suatu isyarat seolah-olah Allah ingin menyatakan pada kita ;
“Jika kamu tidak mahu menerima dakwah, maka tiada sebab lagi kamu layak wujud di bumi yang aku ciptakan ini dengan tujuan ini” 
Kemudian Allah akan hantarkan apa jua tenteranya yang hanya Dia sahaja yang tahu ;
“Dan tiada sesiapa pun mengetahui tentera-tentera-Nya kecuali Dia” – Surah Al-Muddatsir
Dan menggantikan golongan manusia yang menentang dakwah itu dengan generasi yang lain, dan begitulah sunnah Allah seterusnya kepada umat manusia seperti yang kita dapati dalam sejarah-sejarah kemanusiaan dan perutusan para rasul. 
Bezanya situasi di atas dengan situasi kita sebagai umat Muhammad S.A.W, risalah Islam yang kita imani ini adalah untuk seluruh umat manusia, seluruh dunia, sedangkan risalah para anbiya’ hanya untuk kaumnya dan kawasannya sahaja.
“Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) kecuali untuk seluruh umat manusia, sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi amaran” – Surah Saba’
Oleh itu para duat harus sentiasa meneliti ayat Allah dalam surah Al-Baqarah ;
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan kepada manusia, kamu menyuruh mereka kepada makruf dan melarang mereka daripada kemungkaran dan kamu beriman dengan Allah”
Dengan ayat ini para duat akan sentiasa rasa izzah kerana tugas mereka itu adalah tugas yang paling mulia, dengan tugas itulah baru Al-Quran diturunkan, dengan tugas itulah baru bumi ini akan dapat tetap di tempatnya dan dengan itulah baru keamanan sejagat tercapai.
Apabila kita samakan fenomena kejadian bumi ini yang tidak menerima (secara fitrahnya) selain kebaikan, kita boleh mendapati bahawa para duat inilah orang yang paling bermanfaat kepada manusia ;
Demikianlah Allah buat perumpaan yang benar dan batil, adapan buih lautan hanya akan hilang tanpa gunanya, sedangkan apa yang memberi manfaat pada manusia akan terus kekal, begitulah Allah membuat perumpamaan” – Surah Ar-Ra’d 
Ia seolah-olah menunjukkan bahawa yang batil itu tetap akan hilang dan yang benar tetap akan bertahan. Ia juga memberi isyarat yang halus kepada para duat agar terus meyakini dakwah mereka akhirnya pasti akan menang pada pusingan terakhir, walau apa jenis mehnah pun yang menimpa mereka.
Berlakunya kiamat kerana tamatnya umur dakwah
Hinggalah pada akhir hari dunia, apabila tiada lagi seruan dakwah, maka ketika itu terjadilah segala yang telah Allah rakamkan dalam surah-surah Makkiyah, apabila bintang-bintang jatuh ke bumi, apabila bukit-bukit tergoncang, dan apabila bumi meluahkan isi-isinya. Pada ketika itu bumi sudah hilang tujuannya, pada ketika itu langsung tiada sesiapa pun menyebut kalimah Allah, ketika itu kesemua yang beriman walau sebesar zarah pun telah dimatikan.
Ia adalah penghujung hayat dunia ini. Ketika kerosakan memuncak dan kesemua penghuni bumi tidak beriman, ketika itu bumi tiada sebab untuk dikekalkan, maka datanglah hari yang paling dahsyat untuk seburuk-buruk golongan manusia, iaitu golongan yang layak menyaksikan hari Kiamat.
Kesimpulan
Jika kita lihat pada apa yang telah diterangkan di atas, kita akan memahami bagaimana akhirnya dakwah ini adalah untuk dunia, dan dunia ini adalah untuk dakwah. Kita akan merasakan bahawa Al-Quran itu untuk dakwah, lantas kita hidup dengannya sebagai penyuluh jalan. 
Kita akan merasakan bahawa Rasulullah S.A.W adalah ketua kita yang memimpin kita memahami dakwah ini dalam sirahnya, maka kita mencintainya atas dasar itu. Kita akan merasakan orang-orang yang telah pergi sebelum kita yang telah mengukir jalan ini sebagai nenek-moyang kita yang mempunyai pertalian yang lebih agung daripada pertalian darah, iaitu pertalian risalah, lantas kita hormati mereka dan mengikut jejak langkah mereka dan petunjuk-petunjuk mereka.
Kita akan merasakan sahabat-sahabat dakwah kita adalah orang yang akan memegang tangan kita sewaktu kita berjalan menuju syurga lantas bersama-sama golongan para anbiya’ di sana Kita akan merasakan hubungan yang sangat rapat dengan seluruh alam, di mana alam meredhai segala gerak geri kita, seluruh haiwan akan mencintai kita, seluruh tumbuhan akan menyokong kita. Tidakkah hadis mengenai pohon yang bercakap pada akhir zaman itu suatu bukti sokongan mereka kepada golongan yang benar ?
Di atas kesedaran itu, maka kita akan merebut segala peluang yang ada untuk mencernakan tujuan ini, dalam setiap lapangan, dengan kemuliaan yang telah Allah berikan kepada kita, serta tanggungjawap yang Allah akan tanya pada kita. Dengan kesedaran terhadap betapa mahalnya nilai dakwah ini, maka barulah kita mampu korbankan benda yang paling mahal bagi kita, iaitu roh kita untuk tujuan dakwah ini. Dengan itu kita akan fahami betapa pemurahnya Allah kerana membeli jiwa kita yang hina ini dengan syurga yang tidak pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak pernah terlintas dalam hati-hati manusia!
Akhirnya barulah kita akan mampu bertemu Allah, dengan saham dakwah kita yang telah kita korbankan dan buktikan dengan segala usaha kita, masa kita, duit poket kita, titik peluh kita, dan darah kita, sebagai bukti betapa kita telah tunaikan amanah dakwah yang sangat berat ini.
“Dan katakanlah (wahai Muhammad) ; Beramallah, maka Allah akan melihat amal kamu, dan juga rasul-Nya, serta seluruh mukminin” – Surah At-Taubah
“Katakanlah (wahai Muhammad) ; Inilah jalanku, aku menyeru kepada Allah, aku dan orang yang mengikutiku, maha suci Allah, dan tidaklah aku ini di kalangan orang-orang yang menyekutukannya” – Surah Yusuf
Wallahualam.

*kredit buat laman ISMA-MESIR (Membina Generasi Harapan)