Ma'al Hijrah,Perubahan dan Kesungguhan

Salam Ma'al Hijrah buat semua.
Masih teringat ucapan Ma'al Hijrah yang lepas?
Sedar tak sedar,sudah di tahun baru.Lagi sekali.1432H.
Azam pun baru.
Beruntung bagi mereka yang berusaha untuk menjadi lebih baik dari sebelum-sebelumnya.Dan rugi bagi mereka yang masih statik dan kekal dengan 'posisi' yang lama.


Saya ada beberapa azam baru yang mahu dikongsikan bersama mereka yang sudi membaca dan memberikan pendapat.


ERTI PERUBAHAN


Antaranya,saya tidak lagi mahu melakukan perkara-perkara yang pada pandangan Islam,tidak berfaedah.Tidak lagi mahu untuk menghabiskan masa dengan menonton video-video yang tidak menambah iman mahupun menghasilkan amal.Saya juga tidak mahu mendengar alunan-alunan yang pada hemat saya,akan mengurangkan semangat dan iman saya ; nasyid-nasyid cinta islamik,suami isteri dan lain-lain.Juga mahu sentiasa menundukkan pandangan dengan mereka yang tidak halal.Saya mahu berubah dari seorang yang banyak tidur kepada seorang yang hanya sedikit tidurnya.Dari banyak bercakap kepada kurang bercakap perkara yang tidak berfaedah.Dari suka menghabiskan masa pada internet kepada suka menghabiskan masa bersama kawan-kawan dan masyarakat.


Saya sedar,perkara yang saya mahu ubah itu adalah kebiasaan perkara yang saya lakukan seharian.Seumpama rutin dan sebati dalam diri dan jiwa.Namun,itulah yang dinamakan PERUBAHAN dalam erti kata yang sebenar.




PERUBAHAN BERMAKNA KESAKITAN 


Kerana perubahan itu bermakna kesakitan dan kesusahan.Kerana perubahan itu seolah-olah mencabut sesuatu yang lazim dalam diri dan kehidupan harian.Kerana perubahan itu tidak semudah membuka dan menyalin pakaian.Kerana perubahan itu seumpama menanggalkan kulit dari badan,perit dan sengsara.Justeru,tidak dapat tidak,saya harus menempuh segala kesakitan dan kesulitan itu dengan tabah dan bersungguh,demi mencapai perubahan dan 'target' yang saya tetapkan.


ITULAH JIHAD KITA


Buat yang mahu berubah,itulah jihad kita dalam dunia kontemporari ini.Atau diistilahkan oleh sahabat-sahabat seperjuangan saya: Bazli Yaumin (kesungguhan harian).Kesungguhan harian untuk melawan al-Hawa' demi mengejar sesuatu yang dipanggil 'Mardhatillah' (Keredhaan Allah).Bila sahaja seseorang itu merasakan seolah-olah dirinya hilang semangat dan mahu melepaskan diri dari kesusahan tersebut,gambarkan-lah kebahagian dan keindahan di syurga yang bakal menjadi gantian terhadapnya kelak atas segala kesusahan tersebut.Ramai sahaja yang mahu berubah setiap kali tahun baru menjelma,tapi jarang sekali ada yang bersungguh dan berjihad untuk mencapai perubahan tersebut.Bila ditanya,jawapannya "belum mampu" atau dianjakkan perubahan tersebut ke tahun yang mendatang.



إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ 



وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلا مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia." 
(Q.S. Ar-Ra’du : 11)

ALLAH,RASUL DAN MUKMIN AKAN MELIHAT

Rasakanlah bahawasanya Allah melihat setiap kesungguhan dan jihad kita.Jika susah untuk menghadirkan perasaan tersebut,ketahuilah bahawasanya Ar-Rasul juga sedang memerhatikan setiap kesungguhan dan jihad kita.Jika tidak juga merasai kehadiran perasaan tersebut,ketahuilah,para mukmin di sekeliling kita juga memerhatikan setiap kesungguhan dan jihad harian kita.




وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ

"Berusahalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman akan melihat usahamu" (Q.S. At-Taubah : 105)



وَمَن جَاهَدَ فَإِنَّمَا يُجَاهِدُ لِنَفْسِهِ إِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ
Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.
(Q.S. Al-Ankabut : 6)

KESIMPULAN

Seruan umum buat semua.Juga buat diri sendiri.
Sesuatu yang berharga yang kita mahukan,bayarannya juga adalah sesuatu yang bernilai.Rasakanlah bahawasanya diri kita ini berharga,perubahan yang kita mahukan ini sangat-sangat bernilai dan bayarannya adalah dengan titik peluh,jerih payah pengorbanan kita dalam seharian.
Yakinlah dengan janji Allah.Percayalah pada pertolongan Allah.
Moga kita tergolong dalam mereka yang menyucikan diri kerana-Nya.

Berjuanglah.
Berkorbanlah.
Moga Amal diterima Allah.

Membina Generasi Harapan

p/s : Maaf,ringkas dan padat.