Bangkitlah menuju Perubahan!

“Rancang apa untuk cuti mengejut ni?” tanya saya pada seorang rakan sebagai pembuka bicara ketika kami bertemu di Madinatul Hujjaj,Jeddah ketika proses evakuasi para pelajar Mesir sedang berjalan.
“Tak tahu-lah. Tolong family,hantar adik sekolah,main games, tengok movies.Mungkin nak cari kerja,kumpul duit nak balik Mesir nanti.”
“Oh,baguslah ada perancangan untuk cari kerja,kumpul duit.Tapi,movie dan game tu.....Kalau ada program nanti, datanglah ye.” komen saya.
“Boleh insyaAllah. Bagitau-lah nanti ye. Kalau free saya datang.” jawabnya sambil tersenyum.





Syabab (Pemuda) dan Waktu
Ar-Rasul bersabda :

Tidak akan bergerak,berganjak kaki seorang hamba pada hari kiamat sehinggalah dia ditanya akan empat perkara :Pada umurnya,dimana dia habiskan.Pada masa pemudanya,dimana dia habiskan,dan akan hartanya,dari mana dia perolehi dan kemana dia belanjakan,dan akan ilmunya,apa yang dia gunakan dengan ilmu-ilmunya.

Para ilmuan Islam telah mengingatkan kita pada satu elemen penting yang perlu diambil kira dalam kehidupan pemuda Islam yakni waktu lapang.
Jika waktu lapang menjadi penentu kepada kegiatan dalam kehidupan, maka berhati-hatilah kerana awal maksiat, terutama kepada pemuda, bermula dari waktu lapang.
Amr Khaled, seorang penceramah dan penulis yang terkemuka, telah menyimpulkan satu rumus yang berguna sebagai peringatan bagi kita semua:
Pemuda + Waktu Kosong = Awal Maksiat.

Pengajaran dari Al-Quran
Mari kita imbau sebuah kisah yang diceritakan al-Quran dalam surah Yusuf. Mengapa isteri raja Aziz menggoda Nabi Yusuf a.s.?
Antara jawapan utamanya kerana dia adalah wanita kota, isteri pembesar dan punya banyak masa lapang!
Diceritakan dalam surah Yusuf, tentang perkumpulan yang diaturkan isteri raja Aziz sebagai bukti banyaknya masa lapang mereka yang dibazirkan dengan perbuatan yang tidak menghargai waktu.

“…diundangnyalah wanita-wanita itu dan disediakannya bagi mereka tempat duduk, dan diberikannya kepada masing-masing mereka sebuah pisau (untuk memotong jamuan), kemudian dia berkata (kepada Yusuf): “Keluarlah (nampakkanlah dirimu) kepada mereka.” [Yusuf 12: 31]

Pengajaran dari sunnah
Kita lihat pula apa yang disabdakan oleh mu’allim (guru) teragung kita.

Sebaik-baik manusia adalah orang yang panjang usianya dan baik amal perbuatannya. Seburuk-buruk manusia adalah orang yang panjang usianya dan buruk amal perbuatannya.” [Hadis riwayat Ahmad]
Ada dua nikmat yang ramai orang tertipu oleh keduanya; iaitu nikmat sihat dan waktu lapang.” [Hadis riwayat Bukhari]

Ya, dua nikmat yang kita sering tertipu iaitu nikmat sihat dan waktu lapang yang sering diisi dengan perkara yang tidak sewajarnya. Nikmat yang diberi sebagai satu ujian kepada manusia, dan mereka yang lulus ujian ini hanyalah mereka yang bersyukur dengannya.

Sabda baginda lagi:

Tidak ada sesuatu yang disayangkan oleh ahli syurga kecuali suatu waktu yang mereka lewati tanpa menggunakannya untuk zikir (mengingati) kepada Allah ‘Azza wa Jalla.” [Hadis riwayat Thabrani]
Jadilah kamu di dunia seakan-akan kamu sebagai orang asing atau penyeberang jalan.
[Hadis riwayat Bukhari]





Membuang masa itu berdosa

Seorang pemuda yang ingin menggantikan tidurnya yang 'terkorban' kerana kesibukan hari-hari sebelumnya, berpesan kepada rakan serumahnya, “Jangan kejutkan aku tengahari esok. Nanti aku bangun sendiri! Esok aku tak ada apa-apa untuk dibuat.”

Seorang pemuda yang jiwanya kosong dan masanya tidak terisi dengan perkara-perkara yang berfaedah akan menghabiskan masanya di rumah,menonton koleksi-koleksi VCD,DVD movie yang mempunyai bermacam aksi tidak sihat atau bermain game atau kedua-duanya sekali.

Seorang pemuda yang punya waktu lapang yang melimpah-ruah,dan tidak diurus dengan berhemah,pastinya akan terjerat dengan suntikan dan bisikan syaitan.Jika dahulunya dia tidak melayan wanita atau bercouple,kini dia sudah mula berjinak-jinak untuk bersembang,telefon,bersms,berfacebook.Jiwanya terasa kosong dan mahukan hiburan.Semuanya kerana waktu lapang yang dibiarkan kosong,tanpa aktiviti yang mampu menyekat nafsu dan syaitan dari merembeskan bisikan maksiat ke dalam hati kita.

Salahkah untuk saya berkata bahawa membuang masa juga merupakan satu dosa? Memudaratkan diri bukankah haram hukumnya? Waktu lapang yang tidak diurus dengan baik umpama membunuh diri secara perlahan-lahan, tanpa seorang pun menyedarinya. Umpama penyakit kronik yang semakin lama jika tidak diubati semakin teruk dan menjadi barah yang merebak kepada umat!

Mengisi waktu luang




Rasulullah SAW mengumpamakan orang yang hidup di dunia bagaikan orang asing atau orang yang menyeberangi jalan. Ayuh sama-sama kita fikirkan dan telusuri sifat-sifat yang dimiliki oleh orang yang hidup di perasingan atau penyeberang jalan ini. Pertamanya mereka mampu untuk hidup sendiri, berdikari tanpa banyak bergantung harap pada orang lain. Mereka penuh rasa harap dan takut, sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam setiap langkah yang diambil.
Mereka sentiasa memerhatikan keadaan di sekeliling, mencari mereka yang boleh dijadikan teman yang baik, menghindari permusuhan dan bersegera apabila punya peluang untuk berjalan atau melintas jalan dalam keadaan yang tenang. Pada masa yang sama mereka sentiasa berusaha mengikut peraturan yang ditetapkan dan tidak menimbulkan masalah pada diri sendiri jua pada orang di sekeliling.


Justeru,saya mengajak kita semua untuk merancang dan mengisi aktiviti harian kita dengan beribadah kepada Allah.Usah disempitkan skop ibadah tersebut.Lakukanlah apa sahaja yang bermanfaat untuk diri kita dan masyarakat,kerana Allah Ta'ala.

Jika diwaktu sibuk kita,langsung tidak berpeluang untuk menziarah saudara mara yang sudah berbulan tidak berjumpa,sahabat handai yang mungkin sudah bertahun tidak jumpa atau mungkin juga jiran sebelah rumah yang sudah lama tidak beramah mesra.Maka,manfaatkanlah waktu-waktu lapang ini untuk menunaikan tuntutan ukhuwwah dalam Islam.

Carilah apa jua kerja yang baik,untuk mengisi waktu-waktu harian kita.Usah pandang kerja-kerja di luar rumah,lihat dahulu kerja-kerja yang mampu kita buat di rumah.Bantulah keluarga untuk meringankan beban mereka.Basuh baju,basuh pinggan dan kemas rumah.Bukankan itu lebih baik?

Hubungilah,berjumpalah dengan mereka yang mampu memberi nasihat dan manfaat kepada kita.Turut serta bersama mereka untuk mengikuti program-program yang ilmiah,membina iman,menyucikan hati dan mendekatkan diri kepada Allah.Bukankah itu lebih baik dari bersama mereka yang duduk santai di kedai mamak,bersembang kosong sehingga lewat pagi?

Perbaikilah juga bacaan al-Quran dan mulakan berjinak-jinak dengan maksud terjemahannya. Kenali makhraj huruf-huruf dan hukum-hukum tajwid dalam pembacaan. Lancarkan lidah dengan kalimah-kalimah Allah SWT. Jangan hadkannya pada majlis-majlis dan perkumpulan tertentu sahaja.Bawalah Al-Quran je mana sahaja.Jika ada sahaja sela waktu yang lapang,penuhinya dengan bacaan Al-Quran.Abaikan mereka yg kepelikan!

Penuhilah waktu subuh dan petang dengan berzikir dan beriadhah.Bukannya tidur dan menonton drama.


Bangkitlah,syabab.Menujulah ke arah perubahan!
Hargailah waktu syabab kita.Ianya hanya sekali dalam hidup.
Bilal bin Rabah adalah seorang syabab ketika menerima Islam.Umar dan Abu Bakar juga begitu.Kehidupan pemudanya diisi dengan perkara-perkara yang besar!
Masih mahukan Leonardo dan Torres untuk menjadi contoh kehidupan pemuda buat kita?
~Waktu adalah emas.~
Tidak demi Allah! Waktu lebih berharga dari emas. Emas diperjual belikan.
Sedangkan waktu, jika sudah pergi tidak akan kembali lagi selamanya.
Jika waktu telah hilang, bererti usia anda juga telah hilang!’
Wallahu'alam.

Diedit dari tulisan Mus'ab Umair Hassan







Sumber:
1) Amr Khaled: Bangkitlah! Menuju Perubahan Hidup Lebih Sukses
2) Syarah Lengkap: Refleksi 40 Hadis Muwasofat Tarbiah