#islahdiri



Bismillahirrahmanirrahim.
Kutujukan bingkisanku ini buat mereka yang bergelar dan berusaha untuk menjadi pendokong serta penggerak Islam,walau di mana kalian berada.
Moga Allah memberkati usaha kalian.




Saya pernah diingatkan oleh seseorang bahawa suatu jalan tidak akan ada penamatnya melainkan dengan adanya titik mulanya. Tidak akan ada perjalanan melainkan dengan adanya permulaan kepada perjalanan tersebut.Maka amatlah penting bagi kita untuk memilih permulaan yang betul bagi mencapai penamat yang benar. Langkahan pertama itu akan menjadi penentu ke mana kita bakal menjejakkan kaki di akhirnya. Adakah di tempat yang benar-benar ingin dituju ataupun tersimpang jauh dari penamat yang satu.


Begitu juga dalam memilih permulaan kepada jalan kehidupan yang panjang ini. Jika permulaannya cacat, maka pengakhirannya sudah pastinya hanya penat yang kita dapat dan jika permulaannya adalah hasad, maka di hujungnya sudah pastinya fasad. Tetapi jika ianya dimulakan dengan niat yang suci, maka sudah tentu pengakhirannya adalah murni dan jika ianya dmulakan dengan langkahan yang benar, maka di hujungnya pasti ada sinar.


Ibtida’ yang murni - permulaan yang murni.
Permulaan kepada usaha membenarkan kebenaran,pada diri sendiri
Permulaan kepada usaha untuk menyampaikan kebenaran.
Permulaan kepada suatu usaha yang melelahkan.
Permulaan kepada suatu jalan yang dipenuhi onak duri serta cabaran.


“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [Muhammad, 47 : 7]


Sesuatu binaan yang kukuh dan gah,bermulanya dengan tapak yang utuh dan kukuh.Begitu juga dengan usaha mendaulatkan Islam dengan padu dan kukuh,ianya dimulai dengan pembinaan jiwa yang lunak kepada Islam dan patuh. Bagi membina jiwa sebegitu, akal dan hati perlu bersama berganding bahu. Bagi memastikan ianya terjadi, maka kuncinya adalah niat yang suci dan pendidikan (tarbiyah) yang berterusan,untuk memastikan lahirnya seorang akh yang jiwanya selembut Abu Bakr, setegas Umar, sepintar Ali malah tinggi sifat malunya laksana Uthman.


“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, ‘Sungguh, aku termasuk orang-orang muslim yang berserah diri?” [Fussilat, 41 : 33]


Sama-sama memperbetul langkah pertama kita, menyucikan niat kita semata-mata kerana Allah serta murnikan hasrat kita semua. Perbaiki hala tuju diri kita serta tegakkan Islam di dalam diri.Bersama kita menjadi generasi yang diharap-harapkan oleh Rasulullah dan umat Islam.Mudah-mudahan Allah melihat segala usaha murni kita.


Tegakkanlah Islam dalam dirimu,nescaya Islam akan tertegak di negaramu.
وأنفقوا في سبيل الله ولا تلقوا بأيديكم إلى التهلكة وأحسنوا،إن الله يحب المحسنين.
(البقرة : ١٩٥)


-جيل النصر المنشود-
diedit dari laman ismaweb.net