Selamat Hari Guru.










16 Mei 2011.
Selamat Hari Guru buat semua guru.


Saya khususkan tulisan ini buat pendidik saya yang utama.Buat Umi dan Walid tercinta.
Terima Kasih buat kalian atas kesabaran mendidik dan melayan karenah saban hari.
Terima Kasih kerana memberikan kami,anak-anakmu didikan,kasih-sayang yang terbaik dan sempurna.
Kebaikan dan jasa kalian itu pastinya diingat sentiasa dalam hati dan sentiasa dalam doa kami.
InshaAllah,Syurga Firdaus menanti,di hari yang kekal abadi.

Saya khususkan juga tulisan ini buat guru-guru yang mengajar saya sejak pertama kali saya menjejakkan kaki di Taski ABIM Al-Hidayah,Changkat.
Kalian begitu mengagumkan saya ketika bersabar dengan kenakalan dan keaktifan saya ketika itu.

Saya khususkan tulisan ini buat guru-guru yang mengajar saya mengenal dunia,di SRI Al-Huda,Gombak.
Enam tahun lamanya saya di sana,sedikit sebanyak membentuk jiwa mengenal makna kehidupan dan menjiwai tujuan penciptaan.

Saya khususkan tulisan ini buat guru-guru yang mengajar saya di Madrasah Idrisiah,Bukit Chandan.
Kalian telah mengajar saya untuk hidup berdikari dan terus menghadapi hidup dengan penuh semangat walau penuh celaan dan hinaan.

Saya khususkan juga buat guru-guru di SMI ABIM Seremban,Sungai Ujong.
Disaat saya merasakan sudah tidak ada harapan lagi untuk menempa kejayaan,kalian hadir memberikan semangat,dorongan dan bantuan sehingga saya benar-benar memperoleh keyakinan dan memperoleh kejayaan.

Saya khususkan juga buat guru-guru di SMK Seri Gombak,Gombak.
Dalam usia muda dan penuh semangat,saya sangat mahu mencuba sesuatu yang baru.Lantas kalianlah yang memandu saya untuk tidak terus terjerumus dalam nafsu dan anasir jahiliyyah yang mampu menghancurkan masa depan saya.

Saya khususkan juga buat guru-guru di SMK Agama Kuala Lumpur,Bandar Menjalara.
Meskipun hanya setahun setengah saya di sana,jasa kalian jelas terasa.Setiap perjalanan kehidupan saya sehingga kini,masih terbayang nasihat-nasihat ikhlas dan tulus dari kalian.Moga ia menjadi bekalan buat saya sepanjang perjalanan.

Juga buat guru-guru di Darul Quran dan CFS UIA PJ.
Jazakamullahu khairan kathira untuk segala ilmu yang dicurahkan.

Moga Allah memberikan ganjaran Syurga yang tertinggi buat seluruh jasa dan bakti kalian pada saya.
Amin.

*******

Saya khususkan ucapan ini,melebihi segala pengkhususan buat seseorang yang lebih berhak menerima penghargaan ini.
Saya tujukan khas buat Muhammad bin Abdullah.
Selamat Hari Guru dan Terima Kasih,Ya Rasulallah.

Atas ketabahan Rasulullah membimbing kami.
Atas kesungguhan Rasulullah membentuk kami.
Atas kesabaran Rasulullah menyampaikan Islam kepada kami,
Atas kasih sayang Rasulullah yang sangat meninggi kepada kami.
Itulah sebaik-baik kebaikan yang telah Rasulullah sampaikan kepada kami.

Tidak terbayang sekiranya Rasulullah berhenti kehampaan dari terus menyampaikan Islam kepada kami,lebih 1400 tahun dahulu dek kerana tentangan-tentangan yang menyakitkan.
Mungkin sahaja cahaya Islam tidak akan bersinar di hati kami.

Bila aku harus memilih antara 
Bernafas atau mencintai-mu 
Akan aku gunakan 
Seluruh nafasku
Untuk mencintai-mu.