al-Muslim akhul Muslim





Adalah suatu yang amat bernilai bahkan barangan yang jarang ditemui jika anda menjadi seorang sahabat kepada seseorang yang hanya diikat dengan ikatan akhirat, bukan ikatan dunia, ikatan syurga bukan manfaat.
Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw melalui sabda baginda:رجلان تحابا في الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه.Maksudnya: “Dua orang lelaki yang saling berkasih sayang antara satu sama lain kerana Allah. Mereka bertemu dan berpisah hanya kerana Allah.”
Bahkan Rasulullah saw menjadikan sahabat yang salih sebagai hadiah pemberian dan tanda yang menunjukkan Allah kasih kepada seseorang hamba. Sabda Rasulullah saw:إذا أحب الله عبدا رزقه الله أخا صالحا. إن ذكر الله أعانه، وإن نسي ذكره.Maksudnya: “Jika Allah mengasihi seseorang hamba, maka Dia akan berikan kepadanya seorang saudara atau sahabat yang salih. Jika dia sudah mengingati Allah (tidak lalai), sahabatnya akan membantunya (dalam ketaatan kepada Allah) dan jika dia terlalai, sahabatnya itu akan mengingatkannya.”
Kami membisikkan ke telinga anda, sama ada anda suka untuk berada di bawah naungan arasyh Allah atau anda ingin membawa tanda yang menunjukkan kecintaan Allah terhadap anda.

Beberapa Perkataan
Oleh kerana perkara ini amat penting, maka ia mestilah sentiasa diperingatkan dan diberikan amaran. Peringatan dan amaran paling baik boleh didapati daripada golongan salafussoleh yang terlebih dahulu telah melalui jalan Islam ini.
Abdullah bin Mas‘ud berkata: “Tiada s
uatu perkara yang lebih menunjukkan kepada sesuatu bahkan lebih daripada asap yang menunjukkan kepada kewujudan api, lebih daripada seorang kawan kepada seorang kawannya.”
Beberapa orang ulama salaf berkata: “Perbanyakkanlah kawan-kawan anda, kerana setiap orang beriman mempunyai syafaatnya.”
Umar bin al-Khattab berkata: “Engkau hendaklah berkawan dengan kawan-kawan yang benar. Engkau hidup di bawah lindungan mereka. Mereka adalah perhiasan ketika mewah dan sandaran ketika bencana.”
Sesetengah mereka berkata: “Jika bukan kerana tiga perkara ini, nescaya aku tidak suka untuk terus tinggal di atas dunia; membaca al-Quran, qiyamullail dan bertemu para sahabat.”
Bahaya Kematian
Ini adalah jeritan amaran dan peringatan agar anda tidak tergelincir bersama-sama dengan kawan-kawan yang tidak baik serta ahli maksiat yang akan mengakibatkan anda mendapat kesudahan hidup yang tidak baik.
Pernah berlaku bagaimana ‘Uqbah bin Abi Mu‘ait hampir-hampir memeluk Islam dan mengisytiharkan keislamannya, tetapi oleh kerana sahabat baiknya bersumpah tidak akan bercakap lagi dengannya melainkan selepas ‘Uqbah meludah ke muka Nabi saw. Mendengarkan demikian, ‘Uqbah langsung pergi kepada Nabi saw dan meludah ke muka baginda. Dia juga meletakkan kakinya di atas tengkuk Nabi saw, bahkan lebih daripada itu, dia meletakkan perut unta di atas belakang Nabi saw ketika baginda sedang sujud. Semua ini beliau lakukan demi menggembirakan sahabat baiknya itu. Lalu Allah swt menurunkan firmanNya dalam surah al-Furqan, ayat 27-29):وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ عَلَى يَدَيْهِ يَقُولُ يَالَيْتَنِي اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلاً. يَاوَيْلَتِي لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلاَنًا خَلِيلاً. لَقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلإنسَانِ خَذُولا.ً
Maksudnya: “Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya).”
Oleh itu wahai saudaraku! Berhati-hatilah! Semoga anda dirahmati Allah.

Hak-hak Persahabatan
Neraca persahabatan ialah dengan anda mengenali hak-haknya untuk anda menunai dan memenuhinya kepada sahabat anda, bukan untuk menuntutnya daripada sahabat anda. Firman Allah swt dalam surah al-Waqi‘ah ayat 10:وَالسَّابِقُونَ السَّابِقُونَMaksudnya: “Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak).”
Antara hak-hak persahabatan ialah:

• Hendaklah anda memberitahunya bahawa anda mengasihinya kerana Allah, sebagaimana digesa oleh Rasulullah saw di dalam sebuah hadis:إذا أحب أحدكم أخاه فليخبره.Maksudnya: “Jika seseorang daripada kamu mengasihi saudaranya, maka dia hendaklah memberitahu saudaranya itu.”
• Sentiasa mendoakan kebaikan bagi sahabatnya ketika keseorangan. Sabda Rasulullah saw:ما من عبد مسلم يدعو لأخيه بظهر الغيب إلا وملك قائم على رأسه يقول آمين ولك بمثل. وفي رواية فهو مستجاب.Maksudnya: “Setiap hamba muslim yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya ketika keseorangan pasti akan ada satu malaikat yang berdiri dekat kepalanya dan berkata: “Semoga Allah memperkenankan permohonanmu dan engkau juga akan mendapat seumpamanya.” Dan dalam satu riwayat lain: “Maka ia adalah doa yang mustajab.”
• Sentiasa memaafkan. Sabda Rasulullah saw:التمس لأخيك سبعين عذرا، فإن لم تجد فقل لعل له عذرا.Maksudnya: “Hendaklah engkau mencari 70 alasan bagi saudara engkau. Jika tidak ada, maka hendaklah anda berkata, mungkin dia mempunyai keuzuran.”Anda hendaklah mengingati kemaafan yang diberikan oleh Bilal kepada Abu Zarr. Alangkah perlunya kita kepada sifat tersebut.
• Menolong dan membantunya sama ada dari sudut kebendaan dan maknawi.
• Menutup dan memelihara rahsia, keaiban dan keterlanjurannya. Sabda Rasulullah saw:كل المسلم على المسلم حرام: دمه وماله وعرضه.Maksudnya: “Setiap muslim ke atas setiap muslim yang lain adalah haram, darah, harta dan kehormatannya.”

Sebaik-baik Sahabat
Hak paling besar yang boleh digunakan untuk menguji kesetiaan seseorang sahabat terhadap sahabatnya ialah pada masalah harta kerana dunia dan kemewahannya boleh berubah kepada sesiapa sahaja.
Sesiapa yang sanggup memberikan bantuan harta kepada sahabatnya yang sedang mengalami kesusahan, maka dia adalah sebaik-baik sahabat, tetapi dengan syarat bantuan itu diberikan dalam perkara kebaikan sahaja, bukan lainnya.
Fathi al-Mawsili dan ‘Isa al-Tammar adalah dua orang sahabat yang baik. Pada suatu hari, Fathi datang ke rumah ‘Isa tetapi ‘Isa tidak ada di rumah. Lalu Fathi berkata kepada hamba perempuan ‘Isa: “Keluarkanlah uncang duit saudaraku.” Lalu hamba tersebut mengeluarkannya dan Fathi mengambil dua dirham daripada uncang tersebut. Kemudian setelah ‘Isa pulang ke rumah, hambanya memberitahu tentang apa yang berlaku, lalu ‘Isa berkata: “Jika benar apa yang engkau katakan, maka engkau aku merdekakan!” Oleh kerana hambanya itu memang bercakap benar, maka dia dimerdekakan.
Beberapa buku sejarah mencatatkan bahawa pada Perang Yarmuk, Khalid menjumpai ‘Ikrimah sedang nazak menghadapi kematian. Khalid bertanya tentang hajatnya yang terakhir. ‘Ikrimah menjawab: “Berikan aku seteguk air.” Sebelum sempat meminum air tersebut, dia terdengar suara rintihan salah seorang saudaranya yang kesakitan, lalu meminta Khalid memberikan air itu kepada saudaranya itu. Khalid pergi untuk memberikan air itu kepada orang tersebut, tiba-tiba orang tersebut mendengar seorang lagi merintih kesakitan lalu dia meminta supaya air itu diberikan kepada orang tersebut. Khalid pergi untuk memberikan air itu kepadanya, tetapi dia sudah meninggal dunia bahkan ketiga-tiga mereka kesemuanya meninggal dunia tanpa seorangpun sempat meminum air tersebut meskipun masing-masing amat berhajat kepadanya!!!

Janganlah Anda Bersahabat Dengan Syaitan
Tugas syaitan ialah menyeru kepada kemungkaran dan kejahatan kemudian kepada neraka… Firman Allah swt dalam surah al-Nisa’ ayat 38:وَمَنْ يَكُنْ الشَّيْطَانُ لَهُ قَرِينًا فَسَاءَ قَرِينًاMaksudnya: “Dan sesiapa yang (mengambil) Syaitan itu menjadi kawannya, maka seburuk-buruk kawan ialah syaitan.”
Maka kawan yang mempedaya kawannya dengan memberikan rokok, dadah, filem-filem lucah dan lain-lain, maka dia bukanlah seorang kawan sebenarnya. Orang yang mengajar bagaimana anda mengusik perempuan yang tidak halal bagi anda atau yang mengajar anda bagaimana berchatting dan mempunyai kawan melalui internet sedangkan chatt adalah dusta sebenarnya…
Demi Allah! Kawan seumpama ini yang mempengaruhi sedikit demi sedikit untuk melakukan kejahatan-kejahatan di atas… Bukankah dia layak untuk disifatkan sebagai syaitan!
Jika demikian, marilah sama-sama kita mengingati firman Allah swt dalam surah al-Zukhruf ayat 67:الأَخِلاَّءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلاَّ الْمُتَّقِينَMaksudnya: “Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).”

Kewajipan Praktikal

• Hendaklah anda menjadi seorang yang bergaul dengan masyarakat dan berkenalan dengan setiap orang yang anda jumpai.• Neraca persahabatan ialah akhlak Islam, tidak lainnya.• Pilihlah orang yang anda kenali dan tentukan siapakah orang-orang yang anda mahu bersahabat dengannya, serta anda hendaklah teliti di dalam membuat pemilihan.• Rapatkanlah hubungan anda dengan orang yang anda pilih untuk dijadikan sahabat dan beritahu kepadanya bahawa anda mengasihinya kerana Allah sebagaimana diajarkan oleh Rasulullah saw.• Berdoa kepada Allah sentiasa untuk kebaikan sahabat-sahabat anda dan supaya Allah menjadikan persahabatan anda sentiasa berlangsung dalam perkara-perkara kebaikan sahaja.• Hendaklah anda sentiasa berhati-hati kepada semua orang yang berada di sekitar anda terutamanya kawan-kawan yang tidak baik. Sentiasa menapis apakah yang mereka suruh anda lakukan, perhatikan ke mana mereka selalu pergi dan apakah bahan yang mereka minta anda baca dan saksikan.

Minal Qalb ilal Qalb-Dari Hati kepada Hati



‘Maafkan saya kak, saya dah tak mampu nak join kawan-kawan lain, ikut program lagi. Saya nak…’ Husna mengeluh panjang dan berat, sambil menahan gejolak hatinya yang kencang. Berat sekali untuk meneruskan kata-kata yang hendak ia ucapkan buat murabbinya. Tapi di waktu lain, dia benar-benar merasakan dia tak mampu untuk bersama-sama dengan jemaah dakwah yang ia sertai selama ini.

Fikiran Husna menerawang jauh mengenangkan detik-detik awal dia memasuki dunia dakwah. Husna akui bahawa tarbiyahnya yang selama ini dia ikuti memberi impak yang sangat besar kepada pembentukan peribadinya. Dia mampu mengenakan busana muslimah secara sempurna kerana tarbiyahnya dan dia juga temukan keindahan ukhuwah dengan tarbiyah, bahkan dia mampu ‘bekerja’ sekarang kerana tarbiyah.

Tapi saat ini, keindahan ukhuwah yang dulu pernah dia rasakan terasa begitu hambar. Kemesraan dan kecintaan yang dibina bersama teman-teman sehalaqah sudah mula memudar. Husna merasakan teman-temannya terlalu cepat berjalan dan dia tertinggal jauh. Mereka begitu sibuk dengan amanah dakwah masing-masing, sementara pada waktu yang sama dia berasa tenggelam, malas dan letih dengan semua itu. Dia pun tak tau mengapa. Dia ingin teman-temannya mengerti kelemahan jiwanya dan membantunya keluar daripada jeratan-jeratan maksiat yang menjadi asbab kepada kemunduran semangatnya.

Namun ketika mahu dia luahkan pada mereka, dia lantas berasa sangat malu. Teman-temannya asyik membincangkan masalah dakwah bersama murabbinya sehingga Husna tak sampai untuk mengucapkannya.

‘Ala.. masalah kecik je, diorang mesti rasa buang masa je untuk cerita’ Begitu fikirnya. Akhirnya dia tenggelam keseorangan menelan permasalahannya sehinggalah dia mencari teman-teman di luar komuniti dakwahnya untuk sekadar melabuhkan masalah di hati.

Fenomena di atas bukanlah sesuautu yang mustahil dalam putaran dakwah. Jatuh bangunnya aktivis dakwah dalam meniti jalan ini, fenomena futurnya iman serta berguguran jundi-jundi dakwah adalah biasa dalam perjuangan ini. Itu adalah sunnatullah. ‘Imanu Yazid way an quz- Iman itu naik dan turun’.

Akan tetapi yang patut disesalkan adalah ketika berjatuhannya aktivis dakwah ini bukan kerana mereka tidak mahu bangun dan kembali bersama dakwah, tetapi kerana orang-orang yang disekelilingnya tidak mahu membantunya bangkit semula bahkan tidak peduli sama sekali kalau saudaranya sedang terjatuh. Inilah yang patut direnungi bersama.

Kisah Husna adalah satu contoh. Kadang-kadang seorang murabbi itu merasakan bahawa anak-anak buahnya sangat bagus sekali, mendengar pengisian dengan teliti dan bersemangat, mencatat nota dengan rapi, kemudian pulang ke rumah masing-masing dengan aman. Tiada masalah. Padahal di sebalik penampilan yang bagus di hadapan murabbinya, ada jurang kemaksiatan yang dilakukan tanpa pengetahunnya. Anak buah seterusnya mahu mengundur diri dan merasa diri tidak standing dengan teman-teman halaqahnya.

Kuncinya adalah berterus-terang

Mutu sesebuah halaqah itu sangat bergantung kuat pada kualiti dialog yang dibina di dalam halaqah itu. Tidak mungkin dialog-dialog itu mampu berlaku dengan bestnya jika tidak adanya keterbukaan pada jiwa individu(afrod) yang ada didalam halaqah tersebut. Keterbukaan di sini adalah berterus terang dalam menyampaikan segala permasalahan walaupun sekecil manapun masalah itu. Jangan memandang enteng sesuatu masalah itu jika itu memang memerlukan penyelesaian.

Bagi seorang murabbi tidak sebolehnya terlalu mempercayai bahawa ia telah memberikan banyak bahan dan terlalu yakin bahawa mad’unya telah menjadi kader-kader yang tidak mungkin jatuh tatkala ketika tersadung batu ujian.
Lihat sahaja kisah terbukaan Kaab bin Malik di perang Tabuk pada Rasulullah. Panglima besar Islam itu tidak mahu berperang hanya kerana malas! Namun dia bersimpuh di hadapan Rasulullah sambil berkata, ‘wahai Rasulullah, andai aku berhadapan dengan selain engkau, aku yakin aku dapat mencari alasan, namun aku khuatir Allah akan membuatmu marah padaku dengan mengungkapkan kedustaan itu melalui wahyu…”

Apa yang ditonjolkan Kaab sudah cukup menjadi renungan kite semua akan erti keterbukaan,berterus terang dan kejujuran. Di sanalah kuncinya.Ketika seorang mad’u berterus terang akan kesalahannya, makan akan legalah hati, walaupun mungkin ianya memalukan. Di saat itulah motivasi rohani dari murabbi dan nasihat teman-teman harus segera diberikan untuk mengupgradekan langkah-langkah yang sudah tertinggal.

Eratkan kembali ukhuwah

Satu lagi perkara yang berperanan besar dalam menjaga stamina ruhiyah seorang afrod (individu) dalam tarbiyah adalah ukhuwah. Kadang-kadang kerana kesibukan yang mencengkam, hak-hak ukhuwah yang seharusnya kita berikan kepada saudara kita menjadi terabai. Maka wajarlah bila kita rasakan sewaktu berprogram, pertemuan rutin menjadi kering tanpa makna. Kosong. Perkara sebegini haruslah diatasi. Sesibuk manapun aktiviti kita, hak-hak ukhuwah harus tetap kita berikan. Berwajah cerah ketika bertemu, saling berziarah sehingga kita tahu keadaan keluarganya,masalah yang sedang dihadapinya serta keadaan imannya. Cari masa untuk bermalam bersamanya agar dapat bertukar cerita sehingga kita boleh berempati ( empathy ) terhadap permasalahan saudara kita. Saling nasihat menasihati baik diminta ataupun tidak, saling bertukar-tukar hadiah dan saling mendoakan doa rabithah. Andai kesemua hak-hak ukhuwah tersebut kita tunaikan, akan menjadi tipislah kemungkinan untuk bergugurannya sahabat-sahabat kita di jalan dakwah, insyaAllah.

Akhirnya saudaraku, tarbiyah itu unik. Di situ bukan sahaja sekadar perpindahan(transfer) ilmu dan bahan, tetapi adalah proses bagi setiap individu di dalamnya untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya.
Dan lebih dari itu, langkah-langkah ke arah menjadi lebih baik itulah yang menjadikan kita mengerti akan hakikat hidup berjemaah. Tarbiyah bukanlah segala-galanya, namun segala-galanya bermula dari tarbiyah.

Kerana Ini Jalan Pilihanku!! My Way..!





Berapa kali aku kata aku bukan belajar di London ! Aku belajar di Swansea , di salah satu tempat di Wales !

‘ Aku dah bilang kat hang banyak kali dah! Kalau pergi London tu jangan buat perangai tak elok! Jangan malukan mak ayah! Kau pergi sana untuk belajar. Bukan untuk jadi pendakwah!’

Swansea ayah, Swansea ! Bentak hatiku. Aku tak mengerti mengapa semua orang Malaysia menganggap jika belajar di UK itu maksudnya adalah belajar di London .

‘ Tak mengapa Sham, aku dok belajar di Ireland ni pun mak aku kata aku belajar di London.’ Teringat kata-kata Izzul, teman serumahku di saat kami berbual.

Aku mengeluh di saat gagang telefon belum ditutup. Ayah masih meneruskan ceramahnya yang panjang lebar. Terasa bingit apabila suara garaunya menembusi gegendang telingaku.

‘ Aku dah bilang kat hang, dok London tu belajar. Buat apa nak enjoy-enjoy sangat. Bukan senang nak pergi overseas itu, tahu? Semua orang kampong ni tahu yang anak ayah pergi London . Mana aku nak letak muka jika kau balik tak bawak apa2 selain bini kau tu je?’

Dia masih tidak berkata apa-apa. Membiarkan si ayah memuntahkan segala isi hatinya yang terbeku. Padanya ayah tidak mengerti apa-apa yang dialaminya di bumi berhawa dingin itu.

‘ Usrah-usrah tu bukan tak bagus. Aku suka anak aku jadi anak soleh. Tapi jangan sampai berlebih-lebihan. Jangan sampai kau tak study langsung. Nak belajar Islam itu belajar juga, tapi janganlah berlebihan. Islam itukan wasatiah. Berpada-pada. Kita jangan terlalu ekstrim. Biar Islam kita Islam hadhari’

Teringat dulu ayah pernah bertanya kepadaku erti wasatiah. Dia jumpa dalam buku kitab kuning katanya. Aku katakan itu bermakna berbuat sesuatu biar pada kadarnya, tidak berlebihan dan tidak berkurangan.

‘ Ayah memang kecewa dengan kau, Sham. Kau tak kasihan ke pada mak ayah. Macam mana nanti kami nak tanggung malu jika kau balik tak bawak apa-apa? Kau nak cari kerja macam mana nanti? Nak tanggung anak bini kau lagi. Kau nak kasi mereka makan pasir ke?’

Aku merenung lantai di bawah telapak kakiku. Kosong. Di sisiku, bidadari yang menerangi rumah tanggaku duduk bersimpuh sambil menanti-nanti ucapan dari bibirku. Kasihan dia, tentu dia gundah melihat reaksiku berbicara dengan ayah di balik telefon.

Setiap kali aku mahu menjawab kata-kata ayahku, si bidadari menyentuh lembut bahuku dan membuka ayatNya yang menyirami api amarah hatiku;

‘Dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa.Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah keduanya perkataan yang baik’ ( Al-Isra’: 23)

Benarlah sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah. Aku melirik dengan hati yang tenang pada wajah bercahaya si bidadari. Dia bukanlah dikalangan wanita yang dikatakan sebagai jelita. Hidung sedikit sepet, kulitnya sawa matang dan ada pancaran-pancaran jerawat di mukanya. Badannya sedikit gebu. Tapi aku tidak melihat kesemua itu kerana di saat aku ditanya oleh abang usrahku akan kriteria calon isteri pilihanku, jawapanku hanyalah; dia seorang akhwat yang mengikuti tarbiyah dan melaksanakan ajaran Islam. Sehingga ke hari ini, aku tidak pernah menyesal membuat pilihan itu.

‘Ayah…’ ujarku dengan nada yang lembut sambil menahan gelojak di hati yang tersinggung dek tuduhan-tuduhan si ayah.

‘Ayah, Hisham sebenarnya bukan fail exam keseluruhan ayah. Hisham cuma fail satu modul sahaja.’

‘Sama jelah . Kalau dah fail tu fail juga…’ Ayah memotong.

‘Bukan begitu. Maknanya Hisham boleh ambil balik modul itu dan lulus. Tak perlu pun nak kena ulang tahun.’

Aku membayangkan betapa terkejutnya ayah tatkala menerima surat keputusan peperiksaanku di kampung. Ditambah lagi abang sulungku pulang dari US tanpa membawa balik segulung ijazah. Hanya sebatang kara. Kini dia hanya menolong ayah menguruskan kedai runcit di kampung. Sedangkan dahulunya abang adalah pelajar terbaik sewaktu sekolah menengahnya.

‘Abang ikut tabligh kot, Angah.. Balik rumah asyik pakai baju putih je’ begitu kata adik bongsuku tatkala ditanya. Abang enggan berbicara denganku. Aku sendiri tak mengerti kenapa. Mungkin berasa malu.

Barangkali kerana itu ayah melenting dan terkejut. Tapi Hisham tak ikut tabligh ayah! Hisham ikut tarbiyah!

‘Modul periksa itu modul terakhir Hisham kena ambil. Tapi waktu periksa hari itu, Hawa dan Hisham kene demam panas. Hisham pergi juga ambil periksa waktu itu, walaupun tak dapat nak jawap soalan periksa betul-betul.’

Ayah berdengus kasar. Seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapanku.

‘Apapun, ayah tak nak kamu gagal lagi. Kamu kalau ikut-ikut usrah pun jangan sampai tak belajar. Kita biasa-biasa sudahlah. Tak perlu sampai nak jadi pendakwah.’

Kadang-kadang aku kecewa mengapa ramai menganggap bahawa faktor utama kegagalan seseorang yang aktif menghadiri pertemuan-pertemuan ilmu itu adalah kerana kesibukannya. Ramai lagi manusia yang gagal dalam pelajaran tapi mereka itu sibuk dengan kefoyaan mereka berhibur serta menghabiskan masa dengan perkara yang langsung tidak berfaedah.

Pertemuanku dengan seorang sahabat yang memberi cahaya kepada kehidupanku kini adalah pertemuan yang paling membahagiakan hidupku. Sahabat itulah yang menjadi naqib usrahku dan menjodohkanku dengan Hawa. Saat aku jatuh cinta dengan tarbiyah, saat itulah aku mengetahui erti kepada makna kehidupannya di atas muka bumi ini.

‘Kau sanggup berkorban duit dan masa semata-mata nak pergi usrah Sham? Get a life man! Takkan masa muda kau ni nak habiskan masa baca Quran je?Kau tak bosan ke dengar ceramah-ceramah ?Ke hulu-hilir pergi entah kemana-mana entah. Kau boleh tolak tau kalau orang ajak kau. Kau jangan paksa diri Sham,’ Itulah kata-kata teman serumahku di kala mereka selalu melihat aku hilang dari bilikku.

‘Tapi aku tak jumpa ketenangan dan kebahagian bila aku buat apa yang kita buat selama ini. Usha awek cun, main game, tengok wayang dan lepak-lepak. Mula-mula aku rasa best lah. Tapi lama-lama aku rasa boringlah.Hidup takde tujuan. Buat camtu pun aku rasa buang duit dan masa juga.’

‘ Kau memang dah berubahlah, Sham.’ Dan di saat itu, aku mula merasakan hubunganku dengan teman serumahku semakin renggang. Nyata jalan kami adalah dua jalan berbeza. Pemikiran kami berbeza. Kesukaan kami begitu juga.

Aku berasa bahagia tatkala berjumpa dengan teman seperjuanganku namun aku sedih melihat teman serumahku masih leka dengan kefoya-foyaan sementara. Duhai teman, jika dikau mengetahui betapa nikmatnya jalan yang berliku namun penuh cahaya ini tentu kamu takkan tersilau dengan hiburan sementara di atas dunia ini. Kehidupan yang kau lalui sekarang ini adalah jalanyang gelap, yang tidak bermakna apa-apa walaupun kelak kita sama-sama pulang membawa segulung ijazah, kerana kehidupan sedemikian menjanjikan suka sebentar, tetapi duka selamanya di akhirat nanti.

‘ Dan sungguh akan Kami isikan neraka Jahanam dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati,tetapi tidak mempergunakannya untuk memahami dan memiliki mata tetapi tidak melihat dan memiliki telinga tetapi tidak mendengar. Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi,’ ( Al-A’raf: 7)

Aku berdoa agar keluargaku dan sahabat-sahabatku akan mendapat pancaran hidayah ini. Aku berdoa agar mereka menyintai ilmu, menyintai Islam dan mahu beramal dengannya. Kerana hidup di bumi UK ini, perbezaan antara kafir dan Islam adalah terang dan jelas. Minum arak, pergaulan bebas, pergi kelab malam dan makan babi adalah nyata perkara haram. Tetapi di Malaysia sangat sukar untuk menilai manakah Islam manakah yang bukan kerana orang Islam sendiri minum arak, pergi ke kelab malam dan berfoya-foya. Oleh kerana itu tidak hairan jika ramai graduan luar negara apabila pulang ke tanahair akan lebih dekat dengan Allah, kerana keadaan kehidupannya menjadikan dia sedemikian. Dia memerlukan Allah untuk hidup. Dia memerlukan Allah untuk menjadikan dia kuat menahan cabaran kekufuran. Sebab itu di saat sahabat-sahabat seperjuangan mengajaknya untuk belajar tentang agama Allah, hatinya tidak menolak, kerana dirasakan bahagia di saat hatinya dekat dengan Allah. Dan dia buntu memikirkan bagaimanakah lagi dia boleh membawa teman serumahnya mengikuti jalan yang dia ikuti kini.

‘ Wahai orang-orang yang beriman. Penuhilah seruan Allah dan Rasul, apabila dia menyerumu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepadamu,’ (Anfal:24)


Kerana itu Hisham ikut usrah ayah! Kerana Hisham mahu merasai cahaya itu! Dan Hisham mahu orang sekeliling Hisham turut merasai cahaya keimanan tersebut. Kegagalan yang Hisham hadapi sekarang ini bukanlah kerana kesibukan Hisham tapi adalah semata-mata kerana Allah mahu menguji Hisham. Sebab semakin Allah sayangkan hambanya semakin Allah berikannya ujian. Jangan ayah salahkan usrah hanya kerana Hisham gagal!

Mahu sahaja dilontarkan kata-kata itu kepada ayahnya yang separa uzur. Dia mahu ayahnya memahaminya walaupun sukar. Dan dia berazam untuk berbakti kepada ayah tatkala dia pulang nanti. Dia mahu tunjukkan bahawa apa yang dia dapat di negara orang putih ini adalah perkara yang terbaik pernah berlaku pada dirinya.


‘Abang…’ Lamunannya terhenti selepas sahaja dia meletakkan gagang telefon.

‘Result abang dah dapat dah ini..’ Siti Hawa berlari-lari anak sambil membawa sampul putih ke arahku.


Aku membuka sampul itu dengan penuh hati-hati dan perlahan-lahan..

‘Alhamdulillah….’ Sambil menoleh ke arah isteriku dengan senyuman penuh makna.

Pantas jemariku mengambil telefon kelui di atas katil sambil menekan punat dial.

‘Assalamualaikum ayah, Hisham dapat first class honor.….’


Dan di saat itu dia merasakan bahawa angin-angin sepoi bahasa di luar sana turut merasai keriangan hatinya…

CERPEN:Sahabat Sejati!!


Dalam kita bermujahadah untuk melaksanakan dakwah, banyak perkara yang diambil remeh atau terlepas pandang yang mungkin akan mempengaruhi dakwah gred apa yang akan kita wariskan kepada generasi seterusnya. Penulis buku Al Awaiq, Muhammad Ar Rasyid berkata, "Setiap orang akan bertindak dan memiliki sikap positif sekadar mana dia memahami erti persaudaraan. Ada yang memiliki ketinggian ukhuwwah dan ada yang gugur kerana rendahnya erti ukhuwwah dalam dirinya."


Hayati mengemas pakaiannya ke dalam "back-pack"nya, sementara menunggu laptopnya "turn-off". Kemudian, dia memperosokkan sahaja laptopnya ke dalam "back-pack"nya. Zuraida, teman sebilik Hayati memasuki bilik sambil membawa secawan kopi yang baunya semerbak sehingga memenuhi atmosfera bilik mereka.
"Awak tak tido umah malam ni ke?" tanya Zuraida.Hayati sudah mengagak pertanyaan tersebut, lalu tersengih sahaja.
"Huhu.. Sedihnya saya tinggal sorang-sorang lagi dalam bilik malam ni, tak de orang nak tolong segarkan saya kalau mengantuk masa study," Zuraida merengek.
Hayati memakai tudungnya, sambil meniup-niup bucu tudungnya supaya kemas. "Alah awak ni, tiada keupayaan dan tiada kekuatan melainkan dengan Allah. Doa la banyak-banyak supaya Allah segarkan awak. Kadang-kadang, saya ni menggalakkan awak tido lagi ade lah." Zuraida mencebik. "Awak tido rumah sape pulak malam ni?"
"Rumah, err.. rumah.. Huda." Hayati teragak-agak ingin menyebut nama Huda, kerana ini merupakan kali ke 3 dalam minggu itu Hayati bermalam di rumah Huda. Huda merupakan junior kepada Hayati, dia merupakan seorang muslimah yan gmempunyai keperibadian yang tulus, walaupun masih belum memahami tanggungjawab dakwah dan masih belum memahami sepenuhnya erti islam yang syumul.
Sejak Huda baru sampai ke bumi "Down Under" ini, Hayati telah pun menjalinkan hubungan akrab dengannya. Maklumlah, sayanglah sekiranya jiwa yang baik disia-siakan potensinya."Awak nak ikut, Zuraida?" Hayati cuba menghangatkan suasana.Muka Zuraida terus berubah ceria, "Boleh juga!"
Walaubagaimanapun, ada konflik yang berlaku di dalam diri Hayati, dia dapati dalam dia memenangi hati mad’unya, kadang-kadang dia terasakan seperti mengabaikan hak sahabat-sahabatnya yang lain. Walaupun begitu, sahabat-sahabat serumahnya sangat "supportive", dan sering memberi kata perangsang, serta ada kalanya sekiranya Hayati tidak sempat melaksanakan tugas mengikut "duty roster" rumah, pasti ada sahabatnya yang lain akan membantunya, terutama sekali Zuraida.
"Tunggu saya kemas barang saya kejap ye!" kelam kabut Zuraida meletakkan cawan kopinya dan terus mengemas barang serta menyalin pakaiannya.Hayati dan Zuraida berjalan menuju ke stesen bas. Zuraida melihat jadual bas, "Pukul 5.30 p.m baru bas sampai, sekarang baru pukul 5.15 p.m"Hayati mengangguk, "Tak pe lah, kita dok sini dulu sembang-sembang"Zuraida sengih lagi.
"Awak tau tak…" Zuraida memulakan bicara."Tak tau, hehe" Hayati berlawak."Tak pe lah.. tak jadi bagitau la kalau cam tu.." Zuraida terus merajuk. "Alah, awak ni.. Saya gurau je.." Hayati cuba memujuk.
Zuraida memaksa dirinya untuk senyum kembali. Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini, dia sangat mudah terasa dengan Hayati. Jauh di lubuk hatinya, Hayati merupakan sahabat yang paling dia sayang di kalangan sahabat-sahabat serumahnya. Mungkin kerana itu dia mudah terasa dengan setiap tindak-tanduk Hayati. Namun begitu, Zuraida merupakan orang yang pandai menyembunyikan emosi di sebalik senyumannya yang kelihatan tenang.

"Awak tau tak, dalam banyak-banyak kawan kita.. Awak la yang paling saya….." belum sempat Zuraida menghabiskan ayatnya, tiba-tiba kedengaran bunyi hon dengan suatu suara kuat.
"Assalamualaikum.. Nak pegi mana tu?" Rupa-rupanya Sufiah. Sufiah "pull-over" kereta kecilnya yang berwarna merah. "Hayati, Zuraida.. Naiklah kereta saye ni. Tak sudi ke naik kereta buruk ni""Kami nak ke North Melbourne, are you heading that way as well?" tanya Hayati.
Zuraida yang belum sempat menghabiskan ayatnya, terkejut dengan kedatangan Sufiah. Zuraida tergelak kecil di dalam hatinya, dia terbayangkan Sufiah ibarat Mr Bean yang memandu kereta kumbang. Perbualannya dengan Hayati termati begitu sahaja.
"Come in, come in. Have a ride. I’m heading to Docklands. Boleh drop korang kat North Melbourne." Kata Sufiah.
Dalam kereta, Sufiah memasang lagu UNIC, Sahabat Sejati. Zuraida yang duduk di belakang tiba-tiba membuka bicara, "Yati, ni lagu untuk awak." Hayati senyum, "Terima Kasih". Sufiah pula mencelah, "Saya ni tak de orang nak dedicate lagu ke?". Ketiga-tiga orang sahabat tersebut tertawa.
Zuraidah memandang Hayati yang sibuk berceloteh bersama Sufiah. Zuraida mengalihkan pandangannya ke luar. Lagu terus berkumandang,
"Ku biarkan pena menulis Meluahkan hasrat di hati Moga terubat segala Keresahan di jiwa Tak pernah ku ingini"
Mungkin Hayati tidak mendapat mesej yang ingin disampaikan oleh Zuraida.
Zuraida sangat bersyukur kepada Allah, kerana mengurniakan seorang sahabat yang mempunyai semangat juang yang tinggi. Hayati merupakan sahabat fillah yang pertama yang Zuraida kenali. Hayati banyak memberi sokongan kepada Zuraida di dalam pelajaran, maklumlah Hayati pelajar yang cepat tangkap pelajaran. Namun begitu, sejak mereka melangkah ke tahun dua universiti, dan sejak mereka menerima kedatangan adik-adik baru, mereka jarang dapat menghabiskan masa bersama sepertimana dahulu. Zuraida sangat khuatir sekiranya dia ketinggalan, dari segi pelajaran, dari segi dakwah, dari segi tarbiyah, dari segi bilangan mad’u, dari segi segala segi.
Zuraida terus memerhatikan Hayati, ditenungnya sahabat itu puas-puas dan berdoa di dalam hatinya, "Ya Allah terimalah segala amal sahabat ku ini, dan ikhlaskan dia. Dan kuatkan dia sekira dia berasa lemah, dan ikhlaskan dia tatkala dia mengharapkan sesuatu selain Engkau"
Tiba-tiba, Zuraida terasa hatinya sangat lapang. Inilah yang dia mahu rasakan, selama ini perasaannya risau, sedih, bercampur-baur apabila Hayati sudah jarang bersamanya. Benarlah seperti nasihat Kak Elin, "sekiranya kita ada rasa berat hati dengan seseorang, kita segera doakan kebaikan untuk dia, insya-Allah, syaitan yang cuba hasut kita tu akan lari lintang pukang. Dan malaikat pula akan mendoakan perkara yang sama untuk kita."
Ini membuatkan Zuraida tersedar, bahawa kebergantungan yang mutlak itu terletak pada Allah. Dan sekiranya seorang insan itu tidak diberi penghargaan, dia tetap menjadi seperti pokok. Pokok yang menurunkan buah apabila dibaling batu.
Zuraida mahu berlari seperti orang lain, berlari menuju jannah insya-Allah, sama-sama tabah dan kuat dalam membawa risalah perjuangan anbiya’. Tapi, kadang-kadang, dia letih. Kerana lupa mengukur kapasiti diri. Mungkin kerana terlupa, Allah melihat usaha seseorang, dan bukan natijahnya.
Tapi, menjadi kebiasaan manusia. Sangat mengharapkan hasil positif di depan mata. Zuraida terkenangkan Nabi Nuh, kisah dakwahnya di dalam Al Quran. Di dalam surah Nuh, Nabi Nuh merintih kepada Allah, beratus-ratus tahun, pagi sehingga malam menyeru kaumnya, tetapi hasilnya, hanya menyebabkan kaumnya semakin jauh daripada Allah.
"Ah, masakan aku yang baru setahun jagung dalam dakwah ini, mudah sangat putus asa ," getus Zuraidah dalam hati.Hayati melihat "rear-view mirror", ternampak muka Zuraida yang serius. Hayati membisikkan sesuatu kepada Sufiah, dan Hayati membawa keluar "handphone"nya. Hayati menaip sms, "Salam, Huda. Maaf akak tak jadi ke rumah awak malam ni. Ada hal sikit. Nanti akak hantar pengganti akak pergi umah awak ye, hehe."Sufiah membuat "announcement", "Baiklah, kita dah sampai Docklands. Selamat makan aiskrim Dairy Bell, jangan lupa saya."
Zuraida tercengang, Hayati turun dari kereta dan membuka pintu belakang, lalu menarik tangan Zuraida. Zuraida tercengang, "Eh, tadi Sufiah kata dia yang nak ke Docklands." Sufiah terus memecut laju ke destinasi barunya. Kereta kecil merahnya berderum hebat. "Jom la kita makan aiskrim sama-sama. Dah lama tak "outing" berdua," Hayati mengajak Zuraida.Zuraida akur sahaja. Dia terasa pelik, kenapa tiba-tiba Hayati tidak jadi pergi ke rumah Huda.
Hayati membeli aiskrim Chocolate Chips, dan mengambil 2 batang sudu kayu, "Jom dok kat tepi jeti tu.."
Hayati mula bicara, "Tadi kat stesen bas, awak nak cakap sesuatu kan…."Zuraida tersenyum sahaja.Hayati bicara lagi, "Awak tak boleh tipu saya dengan senyum tenang awak nih…."
Zuraida tersenyum lagi. Tapi, senyuman itu diikuti dengan air mata.
"Tadi saya nak cakap lain, tapi sekarang Allah ilhamkan saya untuk cakap sesuatu yang lain kepada awak," kata Zuraida, matanya berkaca-kaca.Hayati mengangguk, "Cakaplah..""Kalau awak nak masuk jannah, jangan tinggalkan saya." Zuraida berkata sambil menahan air matanya yang semakin laju.
Hayati sangat terharu. Dia tidak pernah terbayangkan bahawa ada orang yang akan berkata begitu kepadanya, Hayati tak tahu nak respon macam mana, sedangkan dia sendiri pun terhuyung-hayang dalam perjalanan mencari syurga Allah.
Maksud sepotong ayat Al Quran, " Di hari akhirat, terputus segala perhubungan kecuali orang-orang bertaqwa. " Sungguh mudah untuk bercakap soal ukhuwah islamiyah. Namun nak menzahirkannya payah, apatah lagi hendak mengukuhkannya di dalam hati.
"Saya tahu Allah beri awak banyak kelebihan berbanding saya, moga Allah melindungi saya daripada hasad dan dengki, dan moga Allah menjauhkan awak daripada ‘ujub dan riya’ ," Zuraidah menghela nafas panjang. Aiskrim Chocolate Chips tidak mampu menarik seleranya. Hayati terpaku. Dia seakan-akan dapat membaca apa yang dirasai oleh kawannya. Benarlah seperti apa yang dia rasai selama ini, tindak-tanduknya yang banyak mengabaikan hak-hak sahabat-sahabatnya mampu mengundang virus ukhuwah.
"Saya nak minta maaf atas salah silap saya. Saya tau saya banyak tinggalkan awak sorang-sorang. I am lost myself. Kononnya keluar berdakwah tapi, banyak yang lain pula saya abaikan," Hayati mula meluahkan isi hatinya.
Zuraidah berkata, "Saya pun minta maaf, asyik kadang cebik muka. Tapi, tak perlu lah kita mengungkit salah silap kita yang dahulu. Apa yang sudah tu sudah.."Hayati menyambung, "Betul? Kosong-kosong!"Zuraidah pula berkatai, "Kosong-kosong!"
"Insya-Allah, kita akan saling mengigatkan. Time kena study, kita pulun habis-habisan. Time kena keluar berdakwah, kita mujahadah sehabis baik, jaga amal fardi.. Kejutkan qiyam, ingatkan supaya puasa sunat!" Hayati mula meng"list-out" perjanjian di antara mereka.
"Kena tunai hak pada semua pihak yang ada hak ke atas kita, kena berlapang dada dan menerima setiap sahabat kita seadanya, saling memperingatkan, walau kita "fastabiqul khairat", mudah-mudahan ada persaingan sihat.. dan last sekali …outing kat charcoal chicken dengan geng rumah dua minggu sekali, hehe.." Zuraida menyambung.
"Lillahi ta’ala!" Zuraida dan Hayati menyebut kalimah "kerana Allah ta’ala" serentak. Mereka tersenyum sesama sendiri.
"Jom makan aiskrim ni dah cair!!" Zuraida menyogok sesudu aiskrim kepada Hayati."Hehe.." Hayati tergelak kecil. "Er… kita nak tido mana ye malam ni?" Zuraida bertanya."Hehe.. tak pe, kita tido kat bilik kita yang best tu lah… Sufiah tido kat umah Huda, insya-Allah" jawab Hayati. Zuraida terbayang Sufiah bersama kereta merahnya menuju ke rumah Huda. Sufiah memang seorang sahabat yang "sporting" dan lucu.
Kedua-dua sahabat itu tersenyum. Moga Allah memberkati persahabatan mereka, dan meneguhkan hati-hati mereka di atas jalan dakwah hingga bertemu denganNya. Itulah doa mereka berdua.