Kisah Sebuah "meeting"~~






Sebagai seorang yg mukmin, saya sentiasa cuba untuk ambil tahu tentang hal ehwal saudara-saudara saya di negara-negara luar, terutamanya di negara-negara yang sedang dilanda krisis. Setiap kali saya berjumpa dengan pemuda-pemuda dari Palestin, Iraq atau Indonesia, mahu saja saya menegurnya dan bertanyakan khabar. Beberapa hari lalu saya berpeluang untuk tujuan tersebut apabila bertemu dengan seorang kenalan yang berasal dari Iraq.
Saya kira, umurnya mungkin dalam anggaran 40-an. Namun kesan perjalanan hidup yang penuh susah terlukis di rona mukanya dan begitu membentuk jiwanya yang tak kenal erti kalah. Beliau berpeluang untuk pulang ke tanahair selepas kejatuhan Saddam. Itupun setelah sekian lama beliau merantau di negeri orang. Selepas saling bertanya khabar, perbualan kami serta-merta bertukar arah apabila beliau mula menceritakan tentang keadaan di Iraq pada masa sekarang. Mungkin beliau tidak sabar hendak berkongsi penderitaan dirinya supaya saya tersedar daripada hidup saya yang terleka ini. Beliau menceritakan tentang betapa teruknya keadaan di Iraq - peperangan yang diisytiharkan berhenti secara rasminya oleh Presiden US pada 2004, sebenarnya tak pernah selesai walaupun sejenak. Setiap hari ada sahaja letupan di mana-mana sahaja. Kata beliau, apabila keluar sahaja berita tentang pembunuhan, maka persoalannya bukanlah ’siapa?’, tetapi ‘di mana’. Di dalam Iraq sahaja ada berpuluh-puluh kumpulan bersenjata. Peperangan yang berlaku bukanlah antara tentera penjajah US dan penduduk Iraq sahaja, tetapi peperangan berlaku juga sesama penduduk Iraq. Cuba anda bayangkan, dalam kumpulan Sunni pula ada belasan sekta, dalam kumpulan Syiah sahaja sudah ada lebih daripada 20 sekta yang saling bertelingkah. Sekiranya berlaku letupan pada kawasan penempatan Syi’ah, kemungkinan letupan itu bukan dilakukan oleh kumpulan Sunni tetapi dilakukan oleh sesama Syiah sendiri. Iraq sedang menghampiri era Peperangan saudara (Civil War) seinci demi seinci. Begitulah gambaran beliau tentang betapa teruknya peperangan di Iraq. Kisah ini sahaja sudah cukup menyedihkan hati saya.
Hendak digambarkan lagi betapa teruknya peperangan yg berlaku, beliau menceritakan bahawa solat sunat Jumaat tidak dapat lagi diadakan di masjid di bandar-bandar besar seperti Baghdad. Sekiranya anda keluar untuk tunaikan solat sunat Jumaat, anda keluar dengan mengucapkan ucapan terakhir kepada ahli-ahli keluarga dan telah menyediakan surat-surat wasiat. Sebaik sahaja anda melangkah keluar dari rumah, kemungkinan besar anda tidak akan kembali!
Kisah ini belum berakhir di sini. Ini baru saja permulaannya. Beliau menyebut lagi sekiranya Civil war meletus, ia akan bermula di dalam rumahnya sendiri. Cross-marriage di dalam keluarga-keluarga di Iraq adalah satu perkara yang biasa. Beliau menceritakan bahawa beliau sendiri mempunyai abang-abang ipar Syiah dan juga dari bangsa Kurd. Keluarga-keluarga yang ber’campur’ sebegini adalah suatu yang sebati di kalangan penduduk Iraq. Katanya, penyelesaian yang pernah dicadangkan oleh masyarakat antarabangsa untuk memisahkan Iraq berdasarkan sekta-sekta seperti Syiah dan Sunni, mungkin boleh dilakukan secara geografi; boleh saja mahu ambil marker dan lakarkan peta baru di muka peta dunia, namun bagaimanakah mungkin mahu dilukiskan garis-garis pemisahan ini di dalam keadaan keluarga sebegini?!
Di Iraq, terdapat dua jenis kumpulan bersenjata. Yang pertama adalah kumpulan-kumpulan pejuang (resistence fighters) yang betul-betul berjuang menentang penjajah. Mereka ini disokong oleh masyarakat Iraq. Jenis yang kedua adalah mereka yang membunuh semahunya demi memenuhi kepentingan masing-masing (self-interest). Mereka akan membunuh siapa sahaja yang menghalang mereka mencapai tujuan mereka; mereka inilah yg dipanggil sebagai terrorist. Terrorist-terrorist inilah yang menyebabkan hidup penduduk-penduduk Iraq sengsara dan amat dibenci mereka.
Terlalu tekun saya mendengar, hingga seolah-olah terlupa untuk bernafas; terkejut dan terpegun mendengarkan kesengsaraan saudara-saudara saya di Iraq. Baru sahaja saya hendak mengambil nafas baru, teman saya ini menyambung lagi ceritanya. Selepas jatuhnya Saddam Hussein, masyarakat merasakan bahawa hidup mereka terlepas dari cengkaman pemerintah kuku besi ini. Anggapan mereka salah. Sebenarnya apabila jatuh sahaja satu Saddam, sepuluh lagi Saddam muncul di merata-merata tempat. Bukan dalam bentuk pemerintah yang baru, bahkan Saddam muncul di merata-merata tempat; di hospital-hospital, di pejabat-pejabat. Selepas terlepas dari cengkaman Saddam, masyarakat menjadi seolah-olah terlalu ingin mem’praktik’kan kebebasan mereka itu dengan menindas orang lain. Undang-undang sudah lagi tidak terpakai, hanya menjadi helaian kertas di mahkamah sahaja. Ada yang mengatakan fenomena ini wujud kerana masyarakat merasakan bahawa keadaan sebenarnya akan bertambah teruk, malah lebih teruk daripada zaman Saddam. Jadi sementara itu, baik dia mengambil kesempatan untuk mengkayakan diri…astahgfirullahal azim!
Kawan saya berkata bahawa beliau mula memahami -bukan menjustifikasi!- apa yang Saddam lakukan selama ini; kekejamannya, pemerintahan kuku besi dan segala jenis kekerasan yang lain. Mungkin kekerasan dan kekejaman itulah yang meletakkan setiap kumpulan atau sekta pada tempat masing-masing (put them in their places); yang menghalang berlakunya pergaduhan sesama sendiri. “Kekerasan [kekuatan] perlu ditangani dengan kekerasan [kekuatan] jua”, katanya.
Saya cuba membayangkan sedikit sebanyak kemusnahan yang berlaku, tapi tak tercapai oleh pemikiran saya ini yang selama ini hidup dalam ketenangan dan kemudahan sehingga melekakan tentang tujuan sebenar saya hidup di muka bumi ini. Saya bertanya lagi seandainya diberi pilihan, yang manakah akan dipilihnya; sama ada hidup kembali seperti di bawah pemerintahan Saddam Hussein ataupun hidup pada situasi yang ada sekarang ini di Iraq. Yang manakah lebih baik baginya? Beliau terdiam sejenak. Mungkin terkenangkan tanahairnya yang sedang bergolak. Mungkin juga memikirkan “apa punya soalan la ni…semestinya tak mahu kedua-duanya!”. Dengan kesayuan di dalam nada suaranya, beliau berkata seandainya diberi antara dua pilihan tersebut sahaja dan tiada pilihan lain; dan seandainya dia mengetahui apa yang diketahuinya tentang apa yang berlaku pada hari ini…dia akan pilih hidup semasa di bawah pemerintahan Saddam. Kerana sekurang-kurangnya, semasa pemerintahan Saddam, kekejamannya adalah “sistematik”. Masyarakat Iraq belajar bagaimana untuk deal dengan hidup di bawah Saddam, cara-cara nak elak daripada dizalimi. Tapi, bagi manusia mana sekalipun, semestinya tidak mahu keduanya. Inginkan kehidupan yang aman damai. Dapat menjalani hidup mengabdikan diri kepada Sang Pencipta dengan tenang dan tiada gangguan. Ah, alangkah indahnya hidup sebegitu…
Kami terdiam. Masing-masing mengenangkan tempat tumpah darah sendiri. Seorang telah melalui jalan hidup yang penuh berliku dan penuh dengan onak duri. Merasai betapa pahitnya kehidupan dan begitu menyedari tentang tanggungjawabnya untuk membantu ahli keluarga, sanak saudara dan kaumnya untuk mencapai kehidupan yang lebih indah. Seorang lagi masih yang walaupun mempunyai kehidupan yg serba cukup; tiap-tiap bulan ada sahaja duit yang dimasukkan ke dalam bank, masih lagi mengeluh kerana tidak dapat membeli baju berjenama atau kerana duit lambat masuk. Apatah lagi ingin melaksanakan tugasnya sebagai khalifah di muka bumi; berjuang menolong saudara-saudaranya yang tertindas…
Perpisahan kami berakhir dengan satu keazaman yang ditanam untuk lebih kuat berusaha membantu saudara-saudara yang ditindas dan dizalimi di seluruh dunia; menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang lagha agar masa dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan perkara-perkara yang menyumbang kepada Islam. Semuga apa yang dilakukan menjadi hujah di hadapan Allah bahawa diri ini telah membantu saudara-saudaranya. Ya Allah, persaksikanlah…