Belajar dari bangsa Indonesia



(Memang saya ini jarang benar menulis yang berat-berat. Saya lebih suka yang santai-santai sahaja. Tapi entah kenapa, kali ini saya rasa benar-benar perlu menulis sepuasnya. Jangan risau, baca sahaja sehingga ke hujung. Apa salahnya sekali-sekala kita berfikir,kan?)




Kali ini sekali lagi saya meluang masa berkongsi.


Seperti juga yang saya nyatakan dalam tulisan saya yang terdahulu, sememangnya bagi setiap tempat dan suasana punya keadaan atau waqi' tersendiri. Di Malaysia dengan waqi'nya, dan di Indonesia juga dengan waqi'nya. Masing-masing punyai kelebihan dan kekurangan. Jadi yang terbaik? Kita harus saling belajar dan mengajar, antara satu sama lain.

Entah bagaimana beberapa hari yang lalu, saya terdengar satu penyampaian dari daie di Indonesia. Tidak, saya tidak berada di sana. Terima kasih kepada internet yang menghubungkan saya dan mereka.

Ia hanyalah satu perkongsian umum, antara pemimpin dakwah di sana, dan dihadiri rata-ratanya pemuda dan belia Indonesia. Diberi tajuk "Kilas Balik 20 tahun Tarbiyyah di Indonesia",atau mungkin yang lebih kita fahami, "Pandang Semula 20 tahun Tarbiyyah di Indonesia".

Kalau saya tidak silap,penyampainya samada almarhum KH. Rahmat Abdullah (di sana digelar syaikh tarbiyyah), atau mungkin juga Dr. Hidayat Nurwahid, salah seorang pemimpin dakwah di Indonesia ketika itu, dan masih lagi rasanya.

Saya tidak punya kudrat untuk berkongsi semuanya panjang lebar di sini, dan memang rasanya, kurang sesuai isi-isinya. Mereka di sana sudah menempuh fasa yang lain dari fasa dakwah yang kita lalui di Malaysia. Yang akan saya kongsikan ialah pandangan dan cetusan peribadi saya sendiri, yang sememangnya sepanjang mendengar itu, bertambah-tambah rasa hormat saya kepada mereka yang berdakwah di Indonesia, dan rasa syukur mendengarkan pencapaian-pencapaian mereka.

Jujurnya, suatu masa dahulu saya sangat memandang rendah kepada bangsa Indonesia. Sama sekali saya tidak mampu menganggap mereka ini mampu mencapai kejayaan-kejayaan besar. Alhamdulillah, Allah akhirnya memberi peluang saya berjalan dan melihat dunia dengan memakai kaca mata seorang Muslim sebenar, hingga dengan izin Allah, saya mula menimbang nilai manusia dengan neraca Islam, bukan lagi dengan neraca material dan kejayaan fizikal.

Saat saya mula mengenal erti Islam dan dakwah, baru saya tahu rupanya bangsa Indonesia ini bangsa yang luar biasa. Melalui kefahaman saya terhadap dakwah, baru saya sedar rupanya hebat lagi bangsa Indonesia ini dari bangsa-bangsa lain di Asia Tenggara ini. Hanya dengan menilai dengan neraca Islam dan dakwah, baru saya berkenalan dengan bangsa Indonesia yang sebenar.

Saya kira, orang-orang seperti saya dahulu, juga memang tidak bersalah sepenuhnya. Kerana satu masa dahulu, sememangnya bangsa Indonesia satu bangsa yang langsung tidak punya apa-apa yang boleh dibanggakan selain masalah-masalah besar Negara yang diketuai oleh pemimpin-pemimpin mereka sendiri.


Hanya 20 tahun kebelakangan ini, barulah bangsa Indonesia mula menempah kemuliaan.


Ini yang saya faham dari apa yang saya dengar.

Apa suisnya? Tidak lain tidak bukan : TARBIYYAH.

Saya jadi penuh menghayati kata-kata Saidina Umar, ketika beliau berbaju dengan 12 tampalan, mengingatkan sahabat-sahabatnya : "Kita adalah kaum yang dimuliakan dengan Islam!"


Bukan ini yang setepatnya berlaku kepada bangsa Indonesia?


Awal 1980-an, golongan-golongan awal di sana mula mencetus dan menggerakkan dakwah Islamiah, dengan manhaj yang dirintis oleh Imam Hassan Al-Banna dan para mujtahid dakwah haraki yang lainnya. Saat ini seperti juga saat-saat yang dilalui mana-mana fasa awal dakwah : sulit yang amat.


20 tahun kemudian, tahun 2000-an. Bangsa Indonesia hampir seluruhnya telah mengetahui nilai kemuliaan sebenar yang ada dengan datangnya Islam. Tidak terkira banyaknya lembaga-lembaga masyarakat yang diasaskan dan dipimpin oleh orang-orang yang ditarbiyyah dengan Islam sebenar. Hanya dengan menilai kepesatan pengeluaran buku-buku Islam dan fikrah dan jumlah muslimah yang berhijab (walau mungkin dengan berbagai motif), kita dapat mengukur besar luasnya pengaruh fikrah yang satu masa dahulu hanya kelompok-kelompok kecil yang memahami dan memperjuangkannya tanpa lelah. Kini kelompok-kelompok kecil itu berselerak di merata wilayah di Indonesia.
Apa yang berlaku di dalam tempoh 20 tahun itu? : Tarbiyyah Islamiyah yang tidak pernah kalah pada jemu dan jerih, tidak pernah lari dari prinsip dan fikrah yang jelas.


Itu yang saya faham dari apa yang saya dengar. Tentu, masalah-masalah bangsa masih ada, namun kita sendiri mampu mengukur dengan neraca Islam dan Dakwah, bagaimana mereka sememangnya telah mula menuai hasil-hasil tanaman mereka 20 tahun dahulu. Dan ya, mereka perlu teruskan lagi hingga ke hujung cita-cita.


Mereka sudah sedikit sebanyak menterjemah kata-kata Umar r.a.


Di akhir penyampaian tersebut, saya mula terfikir dan bersoal sendiri dalam kepala : Bagaimana kita bangsa Malaysia? Bila mungkin kita akan menjadi mulia kerana Islam? Cukupkah kerja tarbiyyah yang kita lakukan hari ini untuk mungkin satu masa nanti, kita juga perlahan-lahan dapat menuai hasilnya, dan para petani-petani lain merasa takjub dengan hasil tuaian kita?


Biarpun tempohnya belum pasti, apa salahnya kita sentiasa bermuhasabah begini?


Saya jarang berpesan (aduh..), tapi kali ini saya benar-benar rasa mahu berpesan. Bukan kepada sesiapa, tapi diri saya sendiri : Azam dan Kemahuan kita harus kuat. Sabar dan Tetap kita harus hebat. Bersungguh dan Disiplin kita harus ketat. Prinsip dan Fikrah kita harus tepat.


~Kata murabbi saya : 'Khair, InsyaAllah!'.:-)