Kita dan Perubahan.



“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga   mereka mengubah nasib mereka sendiri.” (Ar-Ra’d: 11)


Ketikamana Allah SWT menurunkan al-Quran kepada Rasulullah SAW, lalu baginda membacakannya kepada kaum Arab pada waktu itu, al-Quran memberikan kesan yang sangat mendalam terhadap jiwa mereka dan menguasai sepenuh hati mereka, dengan itu Allah mengubah diri mereka menjadi peribadi-peribadi yang sangat berbeza keadaan mereka selepas memeluk Islam jika dibandingkan dengan keadaan mereka semasa jahiliyah.

Sebagaimana al-Quran memberi kesan kepada hati orang-orang mukmin, demikian jugalah ia memberi kesan kepada hati para musyrikin. Akan tetapi kesan al-Quran pada jiwa orang musyrikin adalah kesan yang sementara dan bersifat negatif. Kesan yang menyebabkan mereka menjauhkan diri mereka daripadanya sambil berkata sesama mereka:

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَسْمَعُوا لِهَٰذَا الْقُرْآنِ وَالْغَوْا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ
“Janganlah kamu mendengar (bacaan) al-Quran ini dan rekalah kata-kata bathil serta palsu sekitarnya, moga-moga kamu dapat mengalahkan (mereka).” (Fussilat: 26)
Adapun bagi orang-orang beriman:

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ
“(Iaitu) mereka yang mendengar perkataan lalu mengikut yang terbaik di antaranya. Merekalah orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan merekalah orang-orang yang berakal.” (Az-Zumar: 18)
Justeru, kesan al-Quran terhadap mereka adalah kesan yang positif pada setiap masa, ia mengubah diri mereka daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain, serta mendorong diri mereka untuk berhias dengan akhlak-akhlak yang mulia lagi terpuji.
اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَابًا مُّتَشَابِهًا مَّثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهْدِي بِهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ
“Allah telah menurunkan sebaik-baik kalam iaitu al-Quran yang serupa (ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit-kulit orang-orang yang takutkan Tuhan mereka kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka ketika mengingat Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan Kitab itu Dia memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki.” (Az-Zumar: 23)
Sahabat yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama merenung kembali hubungan kita dengan al-Quran yang mulia. Adakah terkesan jiwa kita bilamana mendengar ayat-ayatnya yang suci? Sejauh manakah ia mampu membentuk akhlak dan peribadi kita? Dan adakah ia terkesan di dalam hati kita seperti mana terkesannya hati-hati para salaf dengannya?
Tidak wahai saudara-saudaraku! Sungguh, kita hanya semata-mata membaca al-Quran, hanya mengulang-ulang kalimat-kalimatnya dan melagu-lagukan bacaannya, namun limpahan al-Quran dan penghayatannya tidak pula menjadi kepentingan bagi kita sebagaimana para salafussoleh terdahulu yang begitu terkesan dengan al-Quran apabila mendengar ayat-ayatnya dibacakan.
Justeru, marilah kita mengikuti jejak langkah para salafussoleh. Apa yang kita sama-sama inginkan adalah supaya umat al-Quran dan negara Al-Quran kembali tertegak menyinari alam yang sedang berada di dalam kegelapan .
Realitinya, sesungguhnya kita pada hari ini begitu jauh dengan penghayatan al-Quran yang sebenarnya. Bahkan kita pada hari ini begitu mengutamakan dunia dan mencintainya dengan sepenuh hati kita. Tidakkah kita pernah memerhatikan firman Allah SWT maksudnya:
قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
“Katakanlah, sekiranya bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu takuti kerugiannya, dan rumah-rumah yang kamu sukai lebih kamu cintai daripada Allah, rasul-Nya, dan jihad di jalan-Nya maka tunggulah sehingga Allah memberikan keputusan-Nya, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” (At-Taubah: 24)
Sahabat yang dikasihi,
Kita seringkali melihat kepada sebab-sebab dan menganggapnya punca segala sesuatu sehingga kadang-kadang kita terlupa untuk mengambil kira adanya di sana kehendak Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Kuasa, serta pertolongannya bagi wali-wali-Nya tanpa disangka-sangka. Allah berfirman yang bermaksud:
وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
“Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah maka Allah akan jadikan jalan keluar baginya dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah maka Allah akan mencukupkan (keperluannya).” (At-Tolaq: 2-3)
Justeru, mari kita sama-sama mengubah jiwa kita berpandukan wahyu Tuhan ini, lalu kita akan menjadi lebih yakin dengan apa yang berada di tangan Allah daripada apa yang berada di tangan kita sendiri.
Sebahagian daripada kita sangat mudah untuk marah hanya disebabkan perkara yang kecil dan remeh, lalu kita memutuskan hubungan, saling bermasam muka dan sebagainya samada disebabkan oleh perkara yang munasabah ataupun tidak, sedangkan Allah SWT berfirman yang bermaksud:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
“Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah SWT dan janganlah kamu berpecah belah.” (Ali Imran: 103)
Demikian juga firman-Nya dalam ayat yang lain yang bermaksud:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ 
“Hanyasanya orang-orang yang beriman itu bersaudara.” (Al-Hujurat:10)
FirmanNya lagi yang bermaksud:
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ 
“Dan orang-orang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah penolong sebahagian yang lain.” (At-Taubah: 71)
Justeru, adakah kita terkesan dengan firman-firman Allah ini? Lalu kita melupakan kebencian dan kedengkian di antara kita serta cuba untuk menyucikan hati dan perasaan sehingga kita mampu bersatu di atas kalimah Allah dan menjadi saudara kerana Allah semata-mata?
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ
“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitulah) mereka yang kusyuk dalam solatnya, meninggalkan perkara-perkara sia-sia, mengeluarkan zakat, menjaga kemaluan, kecuali kepada isteri-isteri atau hamba-hamba mereka maka mereka tidaklah tercela.” (Al-Mukminun: 1-6)
Di manakah kita daripada sifat-sifat mulia tersebut? Khusyuk dan menjaga solat, meninggalkan perkara yang sia-sia dalam perkataan dan perbuatan, kerana setiap perkara samada yang kecil ataupun besar dicatat oleh Allah. Begitu juga dengan mengeluarkan zakat fitrah, zakat harta sebagai melaksanakan tanggungjawab, menyucikan harta, mengelakkan fitnah, dan berbakti kepada orang-orang fakir dan miskin. Serta menjaga kemaluan daripada perkara-perkara yang diharamkan Allah dan menjaga apa yang berkaitan dengannya samada mata, telinga, mulut, hidung, tangan dan kaki.
Di manakah kita sekarang daripada sifat-sifat yang digambarkan dalam al-Quran perihal mukminin yang sejati dan para salafussoleh lalu mereka menjadi sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi umat manusia?
Inilah sebahagian contoh ajaran-ajaran al-Quran yang telah membentuk akhlak mereka sehingga menjadi sinaran cahaya bagi manusia seluruhnya, dan yang telah memberi petunjuk kepada mereka ke jalan yang benar. Justeru adakah kita berazam untuk mengubah diri kita ke arah yang lebih baik? Dengan itu akan berubahlah kehidupan kita, Insya-Allah.

Ya Allah, perkenankanlah harapan dan permintaan kami, amin!