Pendirian Saya.


Isu PPSMI.

Bantahan demi bantahan.

Saya pun tidak pasti berapa lama lagi isu ini akan bertahan.

Tapi,ini-lah pendirian saya.


Kalau saya masih ingat,punca utama kenapa sistem PPSMI ini dilaksanakan,adalah kerana ingin menanamkan elemen Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.Kelemahan bangsa Melayu terhadap penguasaan Bahasa Inggeris menjadi kebimbangan sesetengah pihak dalam negara yang ingin bersaing di peringkat antarabangsa.
Dengan sistem komunikasi yang dikuasai barat yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama,sudah tentu penguasaan Bahasa Inggeris akan dilihat mampu memberikan kelebihan kepada rakyat Malaysia.Akhirnya,rakyat Malaysia bukan saja akan mampu bersaing di peringkat antarabangsa malah akan dipandang tinggi oleh pihak barat.


Mungkin kenyataan ini ada kebenarannya?

Hari ini,saya sempat untuk meninjau beberapa pandangan tokoh-tokoh termuka.

Saya 'tersangkut' sebentar di sebuah web yang perlu saya rahsiakan (buat masa ini).

Tulisannya berbunyi seperti ini :


Namun beberapa hari lepas saya ada mendengar temuramah dengan Tun
Mahathir di sebuah radio tempatan.Beliau telah memberikan satu pandangan
yang amat menarik dan berlainan dengan apa yang telah beliau lakukan selama
ini.Apabila ditanya mengenai bangsa Melayu,Tun menyatakan bahawa salah satu
cara untuk meningkatkan martabat orang-orang Melayu ialah dengan MEMBENTUK SAHSIAH yang mulia di dalam diri mereka.Bukan lagi dengan membina kekuatan ekonomi atau pembangunan teknologi.Ini bermakud,segala elemen-elemen yang negatif seperti rasuah, lemah, malas, dengki dan lain-lain harus dibenteras dan diberi keutamaan,bukan lagi aspek-aspek lain seperti ekonomi,teknologi maklumat dan sebagainya. Dengan itu,orang Melayu akan dihormati dan dipandang tinggi oleh bangsa asing walaupun bilangan kita kecil.Selagi elemen sahsiah ini tidak benar-benar digubah,maka orang Melayu akan terus di pandang hina dan dianggap boleh dimain-mainkan.



Pandangan Tun ini menarik.

Selama ini kita sedia maklum,bagaimana Tun telah berusaha bersungguh-sungguh selama 22 tahun untuk menaikkan ekonomi orang Melayu.Tun Mahathir,semasa itu,beranggapan bahawa dengan kemajuan ekonomi,akan dapat melonjakkkan bangsa Melayu di mata dunia.Projek pembentukan sahsiah diberikan penekanan yang sangat minima malah hampir “negligible”. Namun usaha ini jelas menampakkan kegagalan.Jika diteliti komen-komen para penganalisis ekonomi negara,keengganan para pelabur asing datang ke Malaysia,antara puncanya ialah kerana mereka tidak yakin dengan ketelusan pihak kerajaan dalam mengendalikan projek-projek mega.Sikap mengambil komisen dan campurtangan politik di dalam memberikan projek kepada syarikat-syarikat yang tidak layak yang mengecewakan mereka.

Ringkasnya, integriti kerajaan tidak diyakini.

Pandangan ini juga secara tidak langsung,menjadi sebuah pengakuan Tun Mahathir,bahawa penguasaan bahasa inggeris bukan lagi menjadi penentu utama bangsa Melayu dihormati oleh bangsa asing.Sebaliknya kemantapan sahsiah-lah yang akan melonjakkan bangsa Melayu.Jika sahsiah ini benar-benar dapat dibentuk,ia akan memberikan imej yang menonjol kepada dunia. Dunia akan memandang bahawa orang Melayu merupakan satu kaum yang sangat disiplin,amanah dan berintegriti.

Tahun 1997,krisis ekonomi di Malaysia.

Penglibatan saya dalam forum di sekolah sedikit sebanyak membantu saya memahami isu-isu di Malaysia,khususnya isu mata wang,krisis ekonomi yang berlaku pada tahun tersebut,1997.

Tun Mahathir pernah mengeluarkan kenyataan ketika Malaysia sedang menghadapi kemelesetan ekonomi dan kejatuhan matawang,bahawa “jika kita tidak mampu untuk bermain dengan barat,maka kita jangan masuk permainan mereka”.

Tun Mahathir telah laksanakan “pegging” iaitu kadar pertukaran wang ringgit.

Pendekatan ini telah diakui oleh barat sebagai satu pendekatan terbaik dalam menangani krisis matawang hingga menjadikan Malaysia satu-satunya negara yang tidak bergantung kepada Tabung Wang Antarabangsa (IMF).

Menggunakan pendekatan yang sama,pihak kerajaan seharusnya melihat pembentukan sahsiah sebagai agenda yang mesti diberikan keutamaan untuk menghadapi cabaran masa hadapan. Orang Melayu harus bersaing dengan pendekatan ekonomi dan teknologi kerana ia suatu tuntutan dalam Islam.Akan tetapi,pengutamaannya adalah pada penerapan secara efektif nilai-nilai murni seperti disiplin,amanah,rajin,berdikari dalam kalangan orang-orang Melayu,bermula dibangku sekolah lagi.Pihak kerajaan mesti memberikan penilaian semula keberkesanan perlaksanaannya sistem pembelajaran agama di sekolah-sekolah supaya generasi yang lahir nanti mampu menghayati nilai-nilai murni ini.

Sejarah kejatuhan Khalifah Otmaniah bukanlah kerana umat Islam lemah dari segi ekonomi atau teknologi,tetapi umat Islam lemah apabila tidak lagi berpegang kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah yang mulia.


Ini-lah pendirian saya.

Maaf kerana sedikit 'berjela' pandangannya.

Akui yang baik,koreksi yang buruk.

Save Gaza

Innalhamdalillah.Subhanallah.Allahu Akhbar.Deen ini adalah Deen masa depan.

Satu akhbar Rusia yang diterbitkan di Amerika ditarik balik pengeluarannya kerana seorang penulis yahudi telah membuat satu artikel mengenai kebenaran yang perlu mereka (Yahudi) terima. Berikut adalah terjemahannya:

Sekiranya kita ke Gaza untuk membebaskan shalit (yang ditawan hamas sejak 2006).Kami pulang tanpanya.

Sekiranya kita pergi ke Gaza untuk menghentikan roket-roket.Sesungguhnya bertambah jauh roket tersebut (sehingga hampir tel aviv) sehinggalah di hari terakhir dan semakin memberi ancaman.

Sekiranya kita pergi ke Gaza untuk menghapuskan Hamas,sesungguhnya Hamas semakin disayangi dan kita telah memberikannya pengiktirafan rasmi.

Sekiranya kita pergi ke Gaza untuk menjajahnya,sesungguhnya telah kami sebut bahawa pasukan tentera tidak mampu menguasai satu meter pun di dalam kawasan Gaza.

Sekiranya kita pergi ke Gaza untuk menunjukkan bahawa kita yang hebat, sesungguhnya peperangan telah berhenti setelah mana diputuskan oleh pejuang bukannya ketika kita buat keputusan.

Sekiranya kita pergi ke Gaza untuk mempamerkan kekuatan kita, sesungguhnya cukuplah kita buat pertunjukkan ketenteraan di tel aviv.

Sekiranya kita pergi ke Gaza untuk membunuh pemimpin Hamas, sesungguhnya kita hanya membunuh dua orang dari 500 pemimpin gerakan Hamas.

Sekiranya kita pergi ke Gaza untuk mendapat simpati dari dunia, sesungguhnya pandangan alam telah merubah kepada memusuhi kami.Orang yang dulu bersama kami pun telah memusuhi kami.

Sekiranya kita pergi ke Gaza untuk mengembalikan kepercayaan kepada tentera kita, sesungguhnya kita telah menambahkan kecut pada tentera kita dan telah menambahkan keyakinan kepada pejuang-pejuang hamas pada diri mereka.

Sekiranya kita pergi ke Gaza untuk menetapkan kekuatan pencegahan kita , sesungguhnya telah jelas bahawa senjata kita, tidak kita gunakannya dengan baik semasa di daratan dengan dua kali percubaan 2006 dan 2008.Ia tidak mencegah hizbullah dan tidak mencegah Hamas.Malahan bertambah ancaman dan kesombongan pemimpin-pemimpin Hamas. Allah yang lebih mengetahui perkara yang akan datang selepas mana telah tersebar maklumat ini dalam kalangan penduduk setempat iaitu maklumat berkenaan dgn pejuang2 palestin dan kemampuan mereka untuk melawan kita. Kita tidak harus lupa ketika berlakunya pertemuan demi pertemuan untuk perdamaian

Kita tidak pernah mendengar permintaan Hamas walau sekalipun untuk genjatan senjata sehingga kita yang memintanya.Biarlah aku bertanya "Siapa yang menakutkan siapa?" Allah lebih mengetahui,terdapat 800 ribu penduduk Israel di selatan yang mana mereka akan gementar dan bergegas ke tempat perlindungan apabila mendengar nama Hamas.

"Siapa yang menakutkan siapa ?"






Sumber asal : www.aqsatv.ps/arabic/index.asp

Faham & Tahu

Masih ingat isi kandungan post saya yang sebelum ni?Faham,Mahu & Mampu.
Saya teringat akan 1 artikel kawan saya,tentang beberapa perkataan yang tampak sama,tetapi berbeza.Ada saya tuliskan dalam post yang lepas,faham dan tahu.


Begini-lah.
Saya ulang semula.Ada yang pening kepala pula nanti.
Ada beberapa perkataan yang tampak sama dari segi penggunaan,namun hakikatnya ia mempunyai maksud yang berbeza.Walaupun berbeza sedikit,tapi ada juga kesannya terhadap maksud ayat yang dikeluarkan.


CONTOH 1:

DIAM - SENYAP

Ini sebuah kisah sewaktu saya di sekolah. Selepas loceng dibunyikan,semua pelajar pulang ke asrama.Kejadiannya berlaku semasa di dalam tandas.Seorang pelajar sedang bernasyid di dalam tandas,dakwah pada syaitan (agaknya la).Lalu seorang senior yang berada di luar tandas menjerit "woi, senyap la!!".Pelajar itu lalu menyanyi dengan suara yang sangat perlahan.Senior itu masih tidak berpuas hati. "woi!.orang suruh senyap la wei!!".Pelajar yang tadinya menyanyi lalu menjawab "ni tengah senyap la ni.Bukannya bising pun.".Terdiam si senior.Dengan malu bercampur ego,dia mengubah kata-katanya. "OK.Tolong diam!"

Bila saya buka kamus dewan edisi ke 3, saya fahami.
Senyap lawannya bising.
Diam lawannya bersuara.
kan?


CONTOH 2:

TAHU - FAHAM

Yang ini memang jelas sekali bezanya.Dengar baik2.
Orang yang tahu tak semestinya faham dan orang yang faham selalunya tahu.

Orang yang berpengeTAHUan dan orang yang punyai keFAHAMan,nyata berbeza.Jika saya beritahu seorang kanak-kanak bahawasanya 4+4=8,maka budak itu akan tahu, "empat tambah empat sama dengan lapan".Namun dia tidak akan tahu jika 4+2=6.Kerana saya tidak bagitahu padanya dan apa yang lebih penting,kerana dia belum faham konsep tambah dalam matematik.

*********

Orang yang faham bahawasanya dia adalah hamba Allah,sentiasa diperhatikan oleh Allah,baik dibalas baik dan jahat dibalas jahat,tentunya tidak akan melakukan maksiat pada Allah.Jika terlanjur,pastinya segera bertaubat.Dirinya pasti tidak senang duduk memikirkan dosa,lantas melakukan banyak lagi amalan sunat,moga dapat menutup dosa-dosanya.

Orang yang faham bahawasanya Muhammad bin 'Abdullah itu adalah nabinya,kekasihnya (yang pipinya pernah dimasuki besi tajam,bibirnya pernah luka,giginya patah dan pernah dilontar batu sehingga menitis darahnya memenuhi capalnya,lalu ditadah dengan tangannya agar darah sucinya itu tidak jatuh ke atas bumi yang akan menyebabkan kemurkaan Allah ke atas mereka yang melakukannya,kekasihnya disaat sakaratul maut,masih lagi memikirkan tentang dirinya dan saudaranya yang lain,mendoakan agar dirinya tidak merasa peritnya sakaratul maut seperti mana yang dia alami),yang sanggup berkorban kerananya,tidak akan mensia-siakan pengorbanan kekasihnya itu.Dia akan sentiasa mengingati Baginda S.A.W,dimana sahaja,mengamalkan sunnahnya,mengerjakan suruhannya dan meninggalkan apa yang Baginda tidak suka.

Orang yang tahu pula adalah orang yang tiap-tiap tahun akan turut serta berarak sempena Maulidur Rasul,kemudian pulang ke rumah,melakukan perlakuan seperti memusuhi Rasul.Umpamanya tidak mengambil kisah akan nasib saudara di Gaza,Palestin.

Orang yang tahu juga ialah orang pergi ke cybercafe untuk melayari internet mencari maklumat terkini mengenai nasib saudara umat Islam di Gaza.Setiap hari dia mengemas kini maklumat terbaru.

Adapun orang yang faham,selain mengemaskini maklumat terkini mengenai saudara mereka di Gaza,mereka juga tahu peranan mereka.Lantas membantu dengan memboikot,beramal dan memberikan kefahaman kepada mereka yang belum faham..

Saya menulis ini bukan bererti saya seorang yang faham atau berlagak faham.
Cuma ingin berkongsi apa yang saya faham.
Zaman kini,sudah ramai yang berpengetahuan.Cuma kurang yang berkefahaman.
Aduh!Isu Palestin semakin senyap.

Ayuh.bangkit!


jika ada kesilapan boleh dibincangkan dalam ruangan comment.saya hanya merujuk disini.


Faham,Mahu & Mampu

Segala puji bagi Tuhan Semesta Alam.Yang Maha Agung lagi Maha Kuasa.Selawat dan salam ke atas junjungan besar,Nabi Muhammad S.A.W. serta kaum keluarganya dan para sahabat baginda.Doa kesejahteraan dipanjatkan untuk saudara-saudara di seluruh dunia,khususnya Gaza.Semoga thabat dalam 'aqidah.

Saya teringat satu perkara.Isi khutbah yang dibacakan oleh Khatib solat Jumaat yang lepas di masjid tempat saya bersolat (Masjid Koperasi Polis fasa 1).
Kata-katanya masing terngiang-ngiang di hati,minda dan telinga saya.

Perihal amalan sunat.
Ada beberapa contoh situasi yang saya ingin gambarkan di sini.
Teringat kata-kata Abu Saif di saifulislam.com;
Menulis bukan untuk memberi TAHU,tetapi berusaha mencetus MAHU,agar bergerak menuju MAMPU....

lihat-lah gambaran berikut.

GAMBARAN 1

Seorang pelajar,yang menghafal al-Quran.Setiap hari,rutinnya ialah mengulang al-Quran dan boleh dikatakan,sepanjang hari,secara puratanya hanya berada di dalam masjid.Secara logiknya,sangat mudah untuk dia beribadah secara khusus dengan Allah,maksud saya solat sunat dll.Tapi,dia tidak pernah menunaikan solat sunat dhuha.Tidak pernah membaca al-Mathurat apatah lagi berusaha menghafalnya.Sedangkan dia tahu,fadhilat dan kelebihan beramal sunat.

Masa ada,pengetahuan ada,kemudahan dan kesenangan ada.
Tapi kenapa dia tidak mampu untuk melakukan ibadah2 sunat?
Berusaha mencetus MAHU.

GAMBARAN 2

Seorang pelajar yang dahulunya hanya belajar di sekolah kebangsaan biasa,tanpa ilmu agama yang banyak.Dia kini berada di salah sebuah kolej swasta yang pelajarnya bercampur antara muslim dengan non-muslim dan muslim celup.Tapi dia tidak pernah terlepas untuk menunaikan solat Dhuha di waktu rehat yang pendek tempohnya dan terkial-kial membaca al-Mathurat selepas asar serta membaca al-Quran yang mulia,kurang2 1helai,yang telah menjadi amalannya sejak mendengar tazkirah ustaznya di kolej.Kerana dia fah
am,dirinya hanya-lah insan yang serba kekurangan dalam hal agama,kerana dia faham kepentingan dan fadhilat amalan sunat tersebut,menyebabkan dia berusaha untuk melakukannya.

Dia tidak punya banyak masa sebenarnya,tidak juga punya banyak pengetahuan.
Tetapi kerana dia faham dan dia MAHU,akhirnya mencetuskan kemampuan untuk dia melaksanakannya,walaupun susah.
KEMAHUAN menggerakkan KEMAMPUAN. 


Gambaran lain.

Dia tahu akan pengharaman melihat wanita bukan muhrim.Kali pertama rezeki,kemudian tundukkan pandangan.Kali kedua adalah pandangan syaitan,jadi,jatuh hukum haram.Dia tahu semua itu.Dia tahu haramnya melihat wanita bukan muhrim,bukan hanya haram bila melihat wanita secara realiti sahaja,bahkan secara digitaliti,maksud saya,melalui media massa,gambar dan sebagainya.Dia pernah ditegur,penah dinasihatkan dan pernah terkesan dek teguran yang sinis,tapi tetap juga menatap cerita dan gambar.Dia TAHU dia salah,tapi mungkin dia tidak MAMPU untuk menghindar nafsunya.

Mungkinkah dia tidak mampu?
Atau dia tidak mahu?
Atau dia tidak berusaha untuk mencetuskan kemampuan?
Atau dia tidak faham apa yang dia tahu?
Kefahaman menghasilkan sedikit perasaan ingin Berusaha agar mencetus mahu dan mampu!

Banyak lagi gambaran yang mungkin boleh membuka mata kita,akan betapa pentingnya kemahuan dalam merealisasikan kehidupan.Bukan pengetahuan semata,.Kemahuan akan menyebabkan kita berusaha utntuk mencapai apa yang kita mahu.Tak mungkin kita nak mencapai sesuatu yang kita sendiri tidak suka.Berbeza!
Tapi,kemahuan itu hanya akan terhasil dan berkekalan dengan kefahaman.
Sahih kefahaman,sahih-lah kehidupan,dan sebaliknya.

Kita punya banyak peluang sebenarnya.
Tinggal kita sendiri,sama ada mahu berusaha atau tidak mahu,dengan mencipta pelbagai alasan.
Banyak nikmat yang kita peroleh,tetapi tidak menghargainya.
Hargai-lah kesempatan masa,tenaga,kemampuan dan kelebihan yang telah dikurniakan sebelum terlambat.

Tulisan ini,bukan-lah untuk memberi tahu,tapi untuk memberi faham.
(dapat bezakan?)

slogan biasa sahabat2 saya,"Allah bagi hidayah".
Berusaha-lah mencari hidayah-NYA.


error!




Tak Kenal.Tak Cinta
Discover Him (P.B.U.H)

saya mahu bercerita...

Terasa sungguh nak berkongsi sesuatu.
Sesuatu yang mungkin mampu memberi manfaat,kesedaran dan hidayah Allah.
Mungkin!
Sudi tak untuk mendengar cerita perkongsian saya?
Tentang sahabat nabi.Boleh?
sikit je.
sudi-lah!Boleh-lah!

*************

Wajahnya selalu berseri.Matanya bersinar.Tubuhnya tinggi kurus.Setiap mata senang melihat kepadanya. Dia selalu ramah tamah, sehingga setiap orang merasa simpati kepadanya.

Di samping sifatnya yang lemah lembut itu,dia sangat tawadhu’ (rendah hati) dan sangat pemalu.Tetapi bila berhadapan dengan suatu urusan penting,dia sangat cekap bagaikan singa jantan bertemu musuh.

Dia-lah manusia kepercayaan Muhammad S.A.W..Namanya ‘Amir bin ‘Abdillah bin Jarrah Al Fihry Al Qurasyi”,dipanggil “Abu ‘Ubaidah Al-Jarrah”.

‘Abdullah bin ‘Umar pernah bercerita tentang sifat-sifatnya yang mulia.Katanya: “Ada tiga orang Quraisy yang sangat cemerlang wajahnya,tinggi akhlak dan sangat pemalu.Bila berbicara,mereka tidak pernah berdusta.Dan apabila orang berbicara kepada mereka,mereka tidak cepat-cepat mendustakan. Mereka itu ialah: Abu Bakar As-Siddiq, ‘Uthman bin ‘Affan, dan Abu 'Ubaidah bin Jarrah.”

Abu ‘Ubaidah termasuk kelompok pertama masuk Islam. Dia masuk Islam ditangan Abu Bakar As-Siddiq,sehari selepas Abu Bakar masuk Islam.Waktu itu beliau menemui Rasulullah S.A.W. bersama-sama dengan ‘Abdul Rahman bin ‘Auf, ‘Utsman bin Mazh’un dan Arqam bin Abi Arqam untuk mengucapkan syahadah di hadapan beliau.Mereka tercatat sebagai tiang-tiang pertama dalam pembangunan mahligai Islam yang agung dan indah.

Abu ‘Ubaidah adalah antara mereka yang merasai 'era penindasan' kaum musyrikin terhadap kaum Muslimin Makkah.Dia turut menderita bersama-sama kaum muslimin yang awal memeluk Islam, turut sama merasai kekerasan,kesulitan dan kesedihan, yang tak pernah dirasakan oleh pengikut agama-agama lain di muka bumi ini.Bahkan ujian yang dialami Abu ‘Ubaidah dalam perang Badar,melebihi segala macam kesusahan yang kita pernah alami.

Abu ‘Ubaidah turut berperang dalam perang Badar.Dia menyusup ke barisan musuh tanpa takut mati.Tetapi tentara berkuda kaum musyrikin menghalang dan sentiasa memburunya.Terutama seorang lelaki musyrikin yang mengejar Abu ‘Ubaidah dengan sangat lincah,ke mana sahaja Abu 'Ubaidah berada.Akan tetapi,Abu ‘Ubaidah selalu bertindak menjauhkan diri dari orang tersebut.Sahabat sekalian,takdir Allah telah menjatuhkan Abu 'Ubaidah ke tanah ketika aksi 'kejar-mengejar' tersebut.Abu 'Ubaidah tangkas berwaspada,menanti kehadiran si fulan tersebut.Ketika si fulan itu semakin hampir dengannya,dengan tindakan yang sangat pantas dan tepat,Abu 'Ubaidah menghayunkan pedangnya,tepat di kepala si fulan terssebut.Musuh itu tewas di hadapan Abu 'Ubaidah.

Musuh itu..Musuh itu..Musuh itu..adalah,'Abdullah bin Jarrah.Ya!Ayah dia.Walidnya,abahnya,bapanya,abinya atau macam-macam panggilan lain yang 'sama waktu' dengannya.

Saksikan,keimanannya.Abu 'Ubaidah tidak membunuh bapanya.Tetapi dia membunuh kemusyrikan yang bersarang dalam peribadi bapanya. 

“Kamu tidak akan mendapati suatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya,sekalipun orang-orang itu bapa-bapa,atau anak anak,atau saudara-saudara,ataupun keluarga mereka.Mereka itulah orang-orang yang Allah telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya.Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,mereka kekal di dalamnya.Allah redha terhadap mereka dan mereka pun merasa redha terhadap (limpahan rahmat)-Nya.Mereka itulah golongan Allah.Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan Allah itulah golongan yang beruntung.” (Al Mujadalah: 22)

Muhammad bin Ja’far menceritakan, “Pada suatu ketika para utusan kaum Nasrani datang menghadap kepada Rasulullah.Kata mereka, “Ya, Aba Qasim! Kirim-lah bersama kami seorang sahabat Anda yang mampu menjadi hakim antara kami. Kami lebih redha menerima keputusan yang ditetapkan oleh kaum muslimin.”

Jawab Rasulullah, ‘Kembali-lah kamu pada petang nanti,akan aku utuskan orang kepercayaanku padamu”

Kata ‘Umar bin Khattab, “Saya pergi menunaikan solat Zuhur lebih cepat dari biasa.Saya tidak ingin tugas itu diserahkan kepada orang lain,kerana saya ingin mendapatkan gelaran "orang yang paling dipercayai".Selesai solat Zuhur,Rasulullah melihat ke kanan dan ke kiri.Saya menonjolkan diri supaya Rasulullah melihat saya. Tetapi baginda tidak melihat kepada kami.Setelah baginda melihat Abu ‘Ubaidah bin Jarrah,bginda memanggil seraya berkata kepadanya,‘Pergilah engkau bersama mereka. Adili dengan baik akan perkara yang mereka selisihkan.”

Abu ‘Ubaidah bukanlah sekadar orang kepercayaan semata-mata.Bahkan dia seorang yang berani memikul kepercayaan yang dibebankan kepadanya.Keberanian itu ditunjukkannya dalam pelbagai peristiwa dan tugas yang dipertanggung jawabkan kepadanya.Pada suatu hari Rasulullah saw. mengirim satu pasukan yang terdiri dari para sahabat untuk menghalang kabilah Quraisy.Baginda mengangkat Abu ‘Ubaidah menjadi ketua pasukan,dan bekal mereka hanya dengan sekarung kurma.Tidak lebih!Kerana itu Abu ‘Ubaidah membahagi-bahagikan kepada askar-askarnya sehari sebuah kurma bagi seorang.Mereka mengulum kurma itu seperti menghisap gula-gula,kemudian,minum.Begitu-lah rutin mereka selama beberapa hari.

Sewaktu kaum muslimin 'kurang bernasib baik' dalam perang Uhud,kaum musyrikin cuba untuk membunuh Rasulullah saw.Kaum Musyrikin,tatkala melihat keseronokan dan keasyikan kaum Muslimin mengutip harta rampasan perang,mengambil kesempatan tersebut untuk berpatah balik dan mengepung kaum Muslimin dari belakang.Para sahabat nabi yang terdekat dan gagah-gagah pada ketika itu berada di barisan paling hadapan,sedangkan Rasulullah berada pada barisan yang paling belakang.Bermakna,Rasulullah adalah orang pertama yang menjadi sasaran kaum Musyrikin yang berpatah balik dan orang pertama yang menyedari kehadiran tentera musyrikin.Sengaja saya mahu ceritakan kepahlawanan Baginda yang tercinta ketika peperangan tersebut.Baginda Rasulullah mempunya dwi pilihan ketika itu.

1)Menyelamatkan diri dan sahabat-sahabat sekitar dengan menyembunyikan diri di kawasan selamat.

2)Memanggil para sahabat untuk berkumpul dan melakukan pengunduran terancang.Sangat berisiko!

Sahabat-sahabat,Rasulullah memilih pilihan yang ke-2.Tatkala Rasulullah memanggil para sahabatnya,"Aku di sini",kaum musyrikin mendengar panggilan tersebut.Dan semua senjata mengarah pada nabi.Dikala itu,cuma ada 9 orang yang berada di sisi nabi,7 orang ansar dan 2 orang muhajirin.& orang ansar tersebut,seorang demi seorang gugur mempertahankan nabi.Sedang 2 orang lainnya,terus gagah mempertahankan Rasulullah.Mereka ialah Sa'ad bin Abi Waqash,pemanah tepat dan Talhah bin 'Ubaidullah,pakar bermain pedang.Pun begitu,2 orang untuk melawan beratus-ratus tentera Musyrikin,tidak akan mampu untuk menangkis balingan tombak yang melukakan pipi kanan,pipi kiri dan bibir nabi.(Aduh!Laknat Allah ke atas mereka),dan pukulan di dahi nabi sehingga luka dahi baginda! serta tetakan pedang pada bahu nabi,sehingga menyebabkan nabi mengadu kesakitan berbulan-bulan lamanya!(Moga mereka yang berbuat demikian sedang di azab di dalam kubur!)

Peristiwa tersebut berlaku dengan sangat pantas.Sahabat-sahabat di barisan hadapan segera berpatah balik ke belakang,kerana  memikirkan keselamatan Rasulullah,termasuk Abu ‘Ubaidah.Setibanya Abu 'Ubaidah di sisi nabi,pantas dia memagar nabi dengan dadanya,mempertaruhkan dadanya,ditembus panah kaum musyrikin,demi keselamatan Rasulullah saw.Ketika pertempuran telah usai,sebuah taring Rasulullah telah patah.Kening baginda luka,dan di pipi baginda tertancap dua mata rantai baju besi beliau.Abu Bakar menghampiri Rasulullah,hendak mencabut kedua mata rantai itu dari pipi baginda yang mulia.

Lantas Abu ‘Ubaidah berkata,“Biarlah saya yang mencabutnya!”.Abu ‘Ubaidah sangat bimbang kalau-kalau Rasulullah kesakitan bila dia mencabut dengan tangan.Maka,dia menggigit mata rantai itu kuat-kuat dengan giginya lalu ditariknya sambil menggosok-gosok pipi Rasulullah,bimbangkan kesakitan Rasulullah.Setelah mata rantai itu tercabut,gigi Abu ‘Ubaidah tercabut satu.Kemudian,dia menggigit pula mata rantai yang sebuah lagi.Setelah tercabut,gigi Abu ‘Ubaidah turut tercabut buat kali kedua.

Rasulullah,tatkala Abu 'Ubaidah al-Jarrah cuba mencabut mata rantai tersebut, telah berkata,"Lindungi-lah saudaramu,kerana telah menjadi kewajipan syurga untuknya"(Subhanallah!)

Abu ‘Ubaidah selalu mengikuti Rasulullah berperang dalam setiap peperangan yang dipimpin baginda,sehingga beliau wafat.

Dalam musyawarah pemilihan Khalifah yang pertama (Yaumus-saqifah),‘Umar bin Khattab menghulurkan tangannya kepadà Abu ‘Ubaidah seraya berkata, “Saya memilih Anda dan bersumpah setia dengan Anda.Kerana saya pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda:.

“Sesungguhnya tiap-tiap umat mempunyai orang yang dipercayai.Orang yang paling dipercayai oleh ku dan ummat ini adalah Anda (Abu ‘Ubaidah).”

Abu ‘Ubaidah menjawab, “Saya tidak mahu mendahului orang yang pernah disuruh Rasulullah untuk mengimami solat sewaktu baginda masih hidup (Abu Bakar).Meskipun baginda telah wafat,marilah kita berimamkan nya(Abu Bakar) juga.”

Mereka sepakat memilih Abu Bakar menjadi Khalifah pertama,Abu ‘Ubaidah sebagai penasihat dan pembantu utama bagi Khalifah.

Setelah Abu Bakar, jabatan khalifah berpindah ke tangan ‘Umar bin Khattab Al Faruq.Abu ‘Ubaidah selalu dekat dengan ‘Umar dan tidak pernah membangkang perintahnya,kecuali sekali.

Perintah Khalifah ‘Umar yang bagaimanakah yang tidak dipatuhi Abu Ubaidah?

Peristiwa itu terjadi ketika Abu ‘Ubaidah bin Jarrah memimpin tentara muslimin menakluk wilayah Syam (Syria).Dia berhasil memperoleh kemenangan demi kemenangan,berturut-turut,sehingga seluruh wilayah Syam berada di bawah kekuasaannya bermula dari tepi sungai Furat di sebelah Timur sampai ke Asia Kecil di sebelah Utara.Sementara itu,di negeri Syam berjangkit penyakit menular (Ta’un) yang amat berbahaya,yang belum pernah terjadi sebelumnya,sehingga mengorbankan banyak nyawa.Khalifah ‘Umar datang ke Madinah,sengaja hendak menemui Abu ‘Ubaidah.Tetapi,situasi di Madinah ketika itu tidak mengizinkan Al-Faruq memasukinya.Lalu ‘Umar menulis surat kepada Abu ‘Ubaidah (lebih kurang begini-lah):

“Saya perlu berjumpa saudara.Tetapi saya tidak dapat berjumpa Saudara kerana wabak penyakit yang sedang menular dalam kota.Kerana itu,bila surat ini sampai ke tangan saudara pada malam ini,saya berharap saudara sudah berangkatuntuk berjumpa dengan saya di luar kota sebelum Subuh.Dan apabila surat ini sampai pada waktu siang,saya berharap saudara berangkat sebelum waktu petang.”

Setelah surat Khalifah tersebut dibaca  oleh Abu ‘Ubaidah,dia berkata, “Saya tahu maksud Amirul Mu’minin memanggil saya.Beliau ingin supaya saya menyelamatkan diri daripada penyakit merbahaya ini"

Abu 'Ubaidah membalas surat Khalifah,katanya;

“Ya, Amirul Mu’minin! Saya faha,i maksud Khalifah memanggil saya.Saya berada di tengah-tengah tentera muslimin,saya sedang bertugas memimpin mereka.Saya tidak ingin meninggalkan mereka dalam bahaya hanya untuk menyelamatkan diri sendiri. Saya tidak ingin berpisah dengan mereka,sehingga Allah memberi keputusan kepada kami semua (selamat atau binasa).Maka bila surat ini sampai ke tangan Anda,maafkan-lah saya tidak dapat memenuhi permintaan Anda,dan beri-lah keizin untuk saya tetap tinggal bersama-sama mereka.”

Setelah Khalifah ‘Umar selesai membaca surat tersebut,beliau menangis sehingga air matanya meleleh ke pipinya.Kerana sedih dan terharu melihat 'Umar menangis,maka orang yang disamping beliau bertanya, “Ya, Amiral Mu’ minin! Apakah Abu ‘Ubaidah sudah wafat?”

“Tidak!” jawab ‘Umar. “Tetapi dia berada di ambang kematian.”

Dugaan Khalifah tersebut tidak salah.Kerana tidak lama sesudah itu,Abu ‘Ubaidah dijangkiti wabak yang sangat berbahaya.Sebelum kematiannya Abu ‘Ubaidah berwasiat kepada seluruh angkatannya:

“Saya berwasiat kepada kamu sekalian.Jika wasiat ini kalian terima dan laksanakan, kalian tidak akan sesat dari jalan yang baik,dan sentiasa berada dalam bahagia.

“Tetaplah menunaikan solat.Laksanakan puasa Ramadhan.Bayar-lah sedekah (zakat).Tunaikan ibadah haji dan ‘umrah.Hendaklah kalian saling menasihati sesama kalian.Nasihati pemerintah kalian,jangan dibiarkan mereka tersesat.Dan janganlah kalian tergoda dengan dunia.Walaupun seseorang itu berusia panjang sampai seribu tahun,namun akhirnya dia akan menjumpai kematian seperti yang kalian saksikan ini.Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh...” Kemudian dia menoleh kepada Mu’adz bin Jabal.

Katanya, “Hai, Mu’adz! Sekarang engkau menjadi Imam (Panglima)!” 

Tidak lama kemudian,ruhnya yang suci berangkat ke rahmatullah.Dia telah tiada di dunia fana.Jasadnya tidak lama pula habis dimakan masa.Tetapi amal pengorbanannya akan tetap hidup selama-lamanya.

Mu’adz bin Jabal berdiri di hadapan jama’ahnya, lalu dia berpidato:

“Ayyuhannaas! (Hai sekalian manusia!) Kita semua merasa sedih kehilangan dia (Abu ‘Ubaidah).Demi Allah! Saya tidak melihat orang yang lapang dada melebihi dia.Saya tidak melihat orang yang lebih jauh dari kepalsuan,selain dia. Saya tidak tahu kalau ada orang yang lebih menyukai kehidupan akhirat melebihi dia.Dan saya tidak tahu,kalau ada orang yang suka memberi nasihat kepada umum melebihi dia. Kerana itu,marilah kita memohon rahmat Allah baginya, semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya pula kepada kita semua.

Amin.                                                                                              

                                                                                                                                                     **********

Mampu jadi sepertinya?Sama-sama berusaha.Azam.InsyaAllah                                                                                                    



Oh Malaysia! siri-2



Saya bukan jawatankuasa PAS, atau orang Kelantan, namun bagi saya sesiapa yang menempelak kenyataan YAB MB Kelantan tentang isu nama Allah adalah mereka yang kurang jelas tentang akidah Islam, atau mempertahankan apa yang mereka tidak faham.
Saya telah tulis isu ini lebih setahun yang lalu dalam artikel saya yang disiarkan dalam MM bertajuk BEZA ANTARA MEREBUT NAMA ALLAH DAN MEMPERTAHANKAN AKIDAH. Saya telah kemukakan hujah dan alasan bahawa mereka boleh memanggil Tuhan dengan ‘Allah’. Al-Quran dan Sunnah membenarkannya. Akidah bukan diukur dengan panggilan, tetapi dengan membezakan antara tauhid dan syirik.
Majlis Fatwa Perlis semasa saya menjadi mufti membuat keputusan sebulat suara keharusan bukan muslim memanggil Tuhan dengan panggilan Allah. Jangan kita nak divert isu politik, kita bangkit isu agama, nanti agama menjadi mangsa permainan manusia.

Saya nasihat kepada yang bising isu ini,jika nak berjihad,biarlah kena pada tempatnya..Ini bukan isu yang patut kita bertarung kerananya. Jika ingin melarang bukan muslim guna nama Allah jangan sebut Islam melarang tetapi beritahu mereka peraturan Kerajaan Malaysia melarangnya atas sebab-sebab tertentu.

Jangan jadikan isu agama nanti mereka hairan lain al-Quran cakap, lain pihak yang memakai jenama agama cakap. Apa yang patut JAKIM fikirkan adalah bagaimana cara agar bukan muslim dalam negara kita lebih faham dan suka dengan Islam”
-Dr. Mohd Asri

Macam-macam pendapat.Pelbagai tafsiran.
Sememangnya umat-umat yang terdahulu memanggil tuhan dengan panggilan Allah.Jadi,tidak ada salah untuk mereka menggunakan panggilan tersebut.Cumanya,jika lihat situasi masyarakat hari ini 
khususnya di Malaysia,umpama masyarakat jahiliyyah yang lampau.Islam hanya pada nama.
Bagaimanakah pula dengan nasib masyarakat akan datang?.
Penggunaan Allah sudah menjadi sebati dalam kalangan rakyat Malaysia,khas untuk tuhan orang Islam.Apabila penggunaan ini dijadikan terbuka untuk semua agama,pastinya akan ada kekeliruan.Jika kelak,Bible dibenarkan untuk dicetak dalam bahasa Malaysia di Malaysia,apa akan jadi pada kefahaman dan 'aqidah generasi baru?
Trinity dalam Bible bakal disebut Allah.
Tuhan dalam Al-Quran juga disebut Allah.
Masyarakat akan kepeningan,mana satu yang betul?Dua-dua Allah,tapi lain isi kandungannya.
Wajar juga jika difikirkan tentang tindakan menteri di Malaysia untuk mewajibkan tulisan "kitab kristian" dalam kitab yang menggunakan nama Allah setelah membenarkan penggunaan perkataan tersebut.
Tapi pokoknya,kita wahai sahabat,perlu bergerak dengan lebih laju.Usaha kita perlu dilipat gandakan.Ramai lagi umat manusia yang kebingungan tentang Islam.Mereka ini perlu kita berikan kefahaman dan bimbingan.
Sekadar perkongsian.Kehidupan bermasyarakat ini umpama satu bulatan yang mempunyai 3 lapisan.
Lapisan yang paling dalam atau Nucleus adalah kita,para da'ie.
Lapisan yang kedua adalah anak murid kita,mad'u.
dan Lapisan yang terakhir adalah masyarakat.
Penambahan bilangan da'ie akan menyebabkan penambahan bilangan mad'u dalam masyarakat,sekaligus mengurangkan bilangan masyarakat yang bermasalah.
Atau kesimpulannya,fasadnya masyarakat adalah kerana para pendakwah tidak berkerja.Hanya segelintir yang berkerja.
Ini adalah ujian Allah untuk mereka yang berkerja pada jalan-NYA.
Terus-lah bekerja hai da'ie supaya seluruh bulatan tersebut berubah menjadi kalian.

Saya dapat.Saya kongsi.

Untuk Muslimah


Pernah suatu ketika,sebelum kewafatan baginda,sahabat bertanyakan kepada Rasulullah.
Berwasiat-lah kepada kami".
Antara perkara yang diwasiatkan,"berpesan-lah kepada wanita dengan kebaikan".

Para wanita sekalian,ramai sungguh dari kalangan kalian yang menjadikan penyanyi,penghibur dan pemuja hawa nafsu sebagai idola.
Ramai sungguh dari kalian yang mencabut perasaan malu anugerah Illahi pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya.
Ramai sungguh dari kalian yang tidak menyedari akan perihal ini,sedangkan kalian-lah penyambung keturunan manusia.Baik kalian,baik-lah manusia.

Wahai para wanita,remaja,adik-adik,sahabat-sahabat yang sudi meluangkan masa membaca,teringin sekali saya untuk berkongsi kisah ini dengan kalian.
Kisah seorang wanita yang tidak pernah seketika merasai nikmat kehidupan yang berlebihan.
Yang tidak pernah terlepas beribadah kepada Yang Maha Kuasa.
Yang sepatutnya menjadi ikutan para muslimah,akhawat,banat pada hari ini.
Dia hanya wanita biasa.
Tapi,imannya luar biasa.

************

Dia membesar dalam suasana kesusahan.Bondanya pergi ketika usianya terlalu muda dan masih memerlukan kasih sayang seorang ibu.Sejak itu,dialah yang mengambil alih tugas menguruskan rumahtangga seperti memasak,mencuci,mengemas rumah dan menguruskan keperluan keluarganya. 

Dibalik kesibukan itu,dia juga adalah seorang yang paling kuat beribadah.Keletihan yang ditanggung akibat seharian bekerja menggantikan tugas ibunya yang telah pergi itu,tidak menghalang dia daripada bermunajat dan beribadah kepada Allah SWT.Malam- malam yang dilalui,diisi dengan tahajjud,zikir dan siangnya pula dengan bersembahyang,berpuasa dan membaca al-Quran.Setiap hari,suara halusnyamengalunkan irama Al Quran. 

Umurnya sudah mencapai 18 tahun.Dia dikahwinkan dengan pemuda yang sangat miskin hidupnya.Lantaran kemiskinan itu,untuk membayar mas kahwin pun suaminya tidak mampu,lalu dibantu oleh ayahandanya sendiri.Setelah berkahwin,kehidupannya berjalan dalam suasana yang amat sederhana,gigih dan penuh ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.Suaminya yang digelar "Singa Allah",merupakan orang kepercayaan Ayahandanya yang diamanahkan untuk berada di barisan hadapan dalam pasukan Islam.Lalu,sering-lah dia ditinggalkan oleh suaminya untuk pergi berperang berbulan-bulan lamanya.Namun dia tetap redha dengan suaminya (isteri mana yang tidak mengharapkan belaian mesra daripada seorang suami).Namun bagi dia,saat berjauhan dengan suami adalah satu
kesempatan berdampingan dengan Allah SWT untuk mencari kasih-Nya.(Subhanallah!)

Sepanjang suaminya keluar berperang,hanya anak-anak yang masih kecil menjadi temannya.Nafkah untuk dirinya dan 5 orang anaknya Hassan, Hussin,Muhsin, Zainab dan Umi Kalsum diusahakannya sendiri. Untuk mendapatkan air,dia perlu berjalan sejauh hampir dua batu,kemudian mencedoknya dari perigi yang berkedalaman 40 hasta,di tengah bahang mentari padang pasir yang terik.Kadangkala dia berlapar sepanjang hari.Sering pula dia berpuasa dan tubuhnya sangat kurus hingga menampakkan tulang di dadanya. 

Pernah suatu hari, sedang dia tekun bekerja di sisi batu pengisar gandum,Ayahandanya datang berkunjung ke rumahnya.Dia yang amat keletihan ketika itu menceritakan keperitan hidupnya itu kepada Ayahandanya.Betapa dirinya teruk bekerja,mengisar tepung,mengangkat air,memasak serta melayan anak-anak.Dia berharap agar Ayahandanya dapat menyampaikan luahan hatinya kepada suaminya,mungkin boleh disediakan untuknya seorang pembantu rumah.Ayahandanya merasa pilu terhadap penanggungan anakandanya itu.Namun ayahnya tahu, sesungguhnya Allah memang menghendakkan kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu di dunia untuk membeli
kesenangan di akhirat.Mereka yang rela bersusah payah dengan ujian di dunia demi mengharapkan keredhaan-Nya, mereka inilah yang mendapat tempat di sisi-Nya. 

Ayahandanya memujuknya sambil memberikan harapan dengan janji-janji Allah.Ayahnya mengajarkan zikir,tahmid dan takbir yang apabila diamalkan,segala penanggungan dan bebanan hidup akan terasa ringan.Ketaatannya kepada
suaminya menyebabkan Allah S.W.T mengangkat darjatnya.Dia tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan kemiskinan keluarganya.Tidak juga dia meminta-minta hingga menyusahkan suaminya. 

Namun begitu,kemiskinan tidak menghilang dia untuk selalu bersedekah.Dia tidak sanggup untuk kenyang "sendiri-sendiri" jika ada orang lainyang kelaparan. Dia tidak rela hidup senang dikala orang lain menderita.Bahkan dia tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri kelaparan. Allah Maha Berkuasa menyatukan dia dan suaminya yang turut sama memiliki sifat murah hati sehingga digelar sebagai 'Bapa kepada janda dan anak yatim' di Madinah lantaran sifatnya yang pemurah. 

Namun,pernah suatu hari,dia telah menyebabkan suaminya tersentuh hati dengan kata-katanya.Menyedari kesilapannya,dia segera meminta maaf berulang kali.Apabila dilihat air muka suaminya tidak juga berubah,lalu dia berlari-lari anak mengelilingi suaminya,sambil merayu-rayu memohon dimaafkan.Melihatkan aksi dia itu, tersenyumlah suaminya lantas memaafkannya. 

"Kalau-lah dikala itu engkau mati sedang suamimu tidak memaafkanmu,nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu." Ayahandanya memberi amaran kepada puterinya itu apabila perkara itu sampai ke pengetahuan ayahnya.Allah mengangkat kedudukan suami sebagai pemimpin kepada isteri.Betapa seorang isteri itu perlu berhati-hati dan sangat berhalus di saat berdepan dengan suami.Apa yang dilakukannya bukan-lah disengajakan.Apatah lagi,merungut-rungut,marah-marah, meninggikan suara,bermasam muka,merajuk atau lain-lain karenah yang menyusahkan suaminya.

Dia juga turut bersama Ayahandanya semasa peristiwa penawanan Kota Makkah dan ketika ayahandanya mengerjakan 'Haji Wida' pada akhir tahun 11 Hijrah.Dalam perjalanan haji terakhir ini Ayahandanya telah jatuh
sakit.Dia tetap di sisi ayahandanya.Ketika itu Ayahandanya membisikkan sesuatu ke telinganya,"Ayahmu telah diberi pilihan antara kehidupan di dunia dengan menghadap Allah.Lalu dia telah memilih untuk menghadap tuhannya",yang membuatkannya menangis.Kemudian Ayahandanya membisikkan sesuatu lagi,yang membuatkannya tersenyum.Benar-lah kata-kata ayahandanya,dia meninggal dunia enam bulan setelah kewafatan Ayahandanya,diusia 28 tahun dan dimakamkan di Perkuburan Baqi', Madinah. 

***************

Namanya harum tercatat dalam al-Quran,disusah-susahkan hidupnya oleh Allah SWT.
Sengaja dibuat begitu oleh Allah kerana Dia tahu bahawa dengan kesusahan itu,hamba-Nya akan lebih hampir kepada-Nya.
Dengan kesusahan-kesusahan itulah dia dididik oleh Allah untuk sentiasa merasa sabar,redha,takut dengan dosa dan tawadhuk (merendah diri).
Ujian-ujian itulah yang sangat mendidiknya agar bertaqwa kepada Allah SWT.

**************
sekali lagi,"bersusah-susah-lah,sesungguhnya nikmat dunia tidak akan kekal".

Saya cinta nabi.
Jadi,saya laksanakan apa yang nabi pinta.
Allah,Rasul dan anda-lah menjadi saksi.
Anda cinta nabi?
Jom,olah langkah!